Sabtu, 7 November 2009

Mahkamah Tangguh Buat Keputusan - Komen Dato Seri Nizar



Putrajaya 5/10/2009 - Krisis perlembagaan negeri Perak dilihat semakin tiada menunjukkan tanda-tanda akan berakhir apabila Mahkamah Persekutuan menangguhkan pengumuman penghakimannya berhubung isu itu ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak. Panel lima hakim berkenaan menangguhkan pengumuman keputusannya setelah mendengar penghujahan secara panjang lebar selama lebih enam jam daripada tiga pihak yang terlibat dalam isu perlembagaan Perak itu. Para hakim yang menganggotai panel itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Hakim Besar Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria dan Hakim-hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Pada awal penghujahan, para peguam yang mewakili Dato Seri Nizar menggesa agar pihak mahkamah menimbang mengadakan panel penuh seramai 11 hakim untuk mendengar pembentangan hujah memandangkan kes ini adalah besar dan melibatkan penentuan kerajaan negeri. Namun permohonan tersebut ditolak.

Peguam utama Sulaiman Abdullah yang mewakili Dato Seri Nizar dalam hujahnya menyatakan kekesalan terhadap pihak mahkamah kerana menggunakan pendekatan yang tidak betul dalam melihat krisis perlembangaan di Perak. Perkara asas dalam artikel 16(2) Undang-undang Tubuh Perak dengan jelas menyatakan seorang Menteri Besar tidak boleh dipecat oleh Sultan dan satu-satunya cara yang boleh menyingkirkan beliau ialah melalui undi tidak percaya oleh anggota dewan undangan negeri.

Hujah beliau telah disokong oleh Hakim Mahkamah Tinggi pada 11 Mei dahulu namun telah diketepikan oleh Mahkamah Rayuan dalam penghakiman ringkas 19 jam kemudian.

Peguam Negara Abdul Gani Patail dalam hujahnya berkata bahawa Sultan Perak menimbang fakta serta keadaan yang wujud sebelum mengisytiharkan pada 5 Feb bahawa Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri. Berdasarkan fakta dan kronologi kes, beliau berkata bahawa pada masa dan keadaan ketika itu, Dato Seri Nizar telah kehilangan kepercayaan dalam DUN Perak apabila 31 ADUN telah berjumpa dengan Sultan untuk menyatakan undi mereka.

Namun dalam penggulungan hujah, peguam yang mewakili Dato Seri Nizar membalas bahawa ketika Dato Seri Nizar memohon untuk membubarkan DUN Perak iaitu pada 4 Feb, beliau masih Menteri Besar yang sah dari segi undang-undang dan juga dari segi pernyataan Peguam yang mewakili Dato Seri Zambry. Berdasarkan undang-undang tubuh negeri Perak, Sultan mesti memperkenankan permohonan tersebut kerana ketika masa itu beliau (Nizar) adalah Menteri Besar Perak.

Krisis perlembagaan Perak ini bermula apabila SPR telah menidakkan permintaan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar yang telah menyatakan bahawa 3 kerusi DUN iaitu Behrang, Changkat Jering dan Jelapang telah dikosongkan.

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding itu, Dato Seri Nizar melahirkan rasa kecewa dengan penangguhan keputusan hari ini kerana kes berkenaan mempunyai kesan serius terhadap kepentingan awam.

Tiada ulasan: