Isnin, 14 Mei 2012

Wartawan ditekan Umno, PDRM

HARI Kebebasan Akhbar Sedunia 3 Mei, tiba-tiba malap cahaya. Wartawan dipaksakan tuan majikannya (kerajaan) agar menulis perkara baik mengenai polis saja. Dan peserta Bersih 3.0 itu dihumban kata-kata keras seperti pengkhianat. Paling tertekan sehingga kini adalah wartawan dan dalam masa sama, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan masih membelenggu. Paling memenatkan, rakyat tidak tahu kepenatan ini dan paling meresahkan ketika menyedari – kepemimpinan parti seperti gagal menyedari ‘tahaptahap kedajalan’ akta ini. Seperkara penting yang kita semua mesti sedar, bahawa tidak semua peraturan dan perundangan itu baik. Ada yang memihak pihak atasan lalu meminggirkan hak dan kepentingan golongan bawahan. Maka, perundangan ini yang berhak dicabar sampai tercalar luka tubuh segala manusia. Arakian, tak semestinya golongan penentang arahan polis dan kerajaan itu salah. Hanya dengan persetujuan mahkamah, maka polis pun dengan tiba-tiba berkatalah kepada semua – bahawa duduk bantah di Dataran Merdeka itu suatu dosa adanya. Dalam Uda dan Dara, 1970, Usman Awang berkata, “Tak guna kita menebas lalang kalau akarnya tak dicabut. “Akar itu ialah PERATURAN. Itulah musuh kita yang sebenar, peraturan yang tidak adil yang ditentukan pada kita.” Musuh kita adalah fikiran gelap dan nafsu jahat itulah yang mendorong cenderung semua kita agar membangunkan aktaakta yang menindas peradaban. Arakian, yang menyertai Bersih 3.0 itu ramai siswa jua. Merenung sajak Usman, Mereka Telah Bangkit, terlihat sikap mengangkat kemuliaan demo itu. Mereka telah bangkit Dari buku yang dibacanya Dari tembok yang melindunginya Dengan bendera dan lilit kepala. Rupanya, Usman memilih fikiran berlainan dengan ‘ilmuan keldai’ yang melihat ilmu kuliah lebih afdal dibanding sikap protes jalanan. Akhir kata – tapi ini bukan penutup segala cerita – kegigihan penyair Bersih 3.0 sebelum merempuh halangan Bersih 4.0 akan datang. Engkau penyair akan menulis segala cerita penamu tajam boleh mengiris segala derita zaman ini mengajarmu hidup berpura-pura atau sekadar menyelamatkan diri menganggukkan kepala. A Samad Said memanggung kepala. Apa pula pendirian saf penyair yang lain pula?

Tiada ulasan: