Isnin, 28 Jun 2010

Dedah: Rahsia 40 ulamak masuk UMNO/BN

SHAH ALAM, 28 Jun: Empat ulama muda nafi menyertai Umno Jumaat lepas seperti dihebohkan media arus perdana sebaliknya mereka dijemput hadir kerana dikatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ingin bertemu dengan lepasan Jordan.

Salah seorang daripada mereka, Ustaz Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27, dari Sungai Buloh berkata demikian ketika berucap menafikan perkara itu di majlis Pentas Pemuda Pakatan Rakyat anjuran Pemuda PAS Shah Alam di TTDI, dekat sini malam tadi.

"Kami dibawa masuk melalui bangunan sebelah Mall, naik escalator, pusing-pusing tiba-tiba sudah berada di dalam Bangunan Umno di PWTC, diminta beratur menyambut Najib datang dan bersalaman, ketika itu gambar diambil bertalu-talu.

"Kemudian diumumkan kepada media bahawa inilah 40 ulama muda yang menyertai Umno, benar ada yang menyertai Umno tetapi ramai yang tertipu melihat kepada reaksi mereka yang asyik menunduk sahaja," jelasnya ketika ditemui selepas berucap pada majlis itu.

Hosni merupakan seorang pelajar hafiz menamatkan pengajiannya di Markaz Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Negeri Selangor di Jugra pada 2003 dengan mendapat diploma dalam bidang itu.

Bermula 2004, beliau belajar di Universiti Al-Albayt, Mafraq, Jordan dan 2009 mendapat Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Usul di Kuliah Syariah dan kini bersedia menyambung pengajian Master di sebuah universiti tempatan.

Anak ketiga daripada empat beradik ini sangat kesal dengan kejadian menipu oleh Umno kerana masyarakat telah memandang serong dengan paparan media yang secara langsung menjatuhkan reputasinya sebagai pewaris ilmu.

"Saya dan tiga lagi sahabat lepasan Jordan, Mohd Fakhruzzaman, 37, dari Shah Alam, Mohd Akram An-Nazilin, 27, (Putrajaya) dan Mohd Jalaluddin Tahir, 26 (Sungai Petani) menafikan kami berbuat demikian sebaliknya Umno yang menipu," tegasnya.

Majlis tersebut turut disertai Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat, Ketua DAPSY, Anthony Look dan Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari.

Mengulas kejadian itu, Idris berkata, jika ulama pun Umno tipu, apatah lagi rakyat biasa sambil menegaskan PAS tidak gentar dengan penyertaan seberapa ramai ulama kerana rakyat lebih tahu sama ada PAS baik atau Umno sudah gelisah.

Dan ini pula pendedahan dari pemimpin PAS Perlis

Masuk Umno: Gertakkan atau lonjakkan?

Zolkharnain Abidin

Ada orang yang menganalisa kemasukan 40 orang yang dikatakan ulama ke dalam Umno itu begini.

40 orang itu adalah rakan-rakan baik Dr Asri. Difahamkan mereka sepemikiran dengan Dr Asri. Apabila kerajaan menghebohkan bahawa JI bertapak dan menular di kampus, dan taklimat mengenainya diadakan, Dr Asri dikaitkan dengan Wahabi dan lingkaran JI oleh pentaklimat.

Khabarnya, 40 orang yang dikatakan ulama itu diberi kata dua. Sama ada berhadapan tindakan kerana terlibat dengan Wahabi dan lingkaran JI atau memilih laluan lain.

Laluan alternatif itu ialah menyertai Umno. Menarik juga, bekas MB Perlis yang turut dituduh Wahabi itu turut berada di dalam majlis penyerahan borang 40 orang itu ke dalam Umno.

Dan, yang turut masuk Umno dalam majlis itu ialah anak bekas Mufti Perlis. Bekas Mufti itu adalah besan bekas MB Perlis.

Maksudnya, Umno menggunakan isu penularan JI di kampus untuk menggertak 40 orang yang dikatakan ulama muda itu. Penyertaan 40 orang yang dikatakan ulama muda itu ke dalam Umno akibat gertakan tadi menjadi mileage politik Umno.

Sama ada betul atau tidak analisa itu, tidak dapat disahkan kebenarannya.

Saya percaya bahawa gerakan keganasan memang bertapak di negara ini. Cuma, masalahnya ialah Umno mengambil kesempatan di atas isu ini untuk kepentingan politiknya. Umno menangguk di air keruh dengan isu ini.

Namun begitu, saya fikir kalau 40 orang itu tidak masuk Umno pun kerajaan tidak akan menahan mereka. Buktinya, Dr Asri tidak pun ditahan atas tuduhan Wahabi dan lingkaran JI tadi. Kalau mereka ditahan saya yakin hayat Umno akan menjadi lebih pendek.

Maksudnya, 40 orang yang dikatakan ulama itu masuk Umno bukan kerana didesak, ditekan, diugut atau digertak semata-mata. Mungkin ugutan, gertakan itu ada.

Cuma darjah gertakan itu tidaklah sekuat mana berbanding darjah keghairahan untuk masuk Umno yang memang melonjak-lonjak dalam hati masing-masing.

Tiada ulasan: