Isnin, 27 Disember 2010

DEMOKRASI: MALAYSIA JATUH TANGGA 71

Malaysia jatuh tiga anak tangga kepada kedudukan 71 dalam indeks demokrasi, antara 167 negara di dunia ini, menurut laporan Economist Intelligence Unit yang diumumkan baru-baru ini. Daripada lima kriteria penilaian, Malaysia mengalami penurunan dalam budaya politik dan kebebasan sivil, meskipun meningkat dari segi fungsi kerajaan.

Laporan indeks demokrasi yang dikeluarkan Economist Intelligence Unit ini menunjukkan kemunduran demokrasi di merata dunia dari tahun 2008 hingga 2010. Negara Barat mahupun Timur mengalami impak dari faktor ekonomi, lantas negara diktator semakin sempit ruangnya, malah menunjukkan kecenderungan politik negatif yang semakin nyata berikutan krisis ekonomi.

Pada tahun 2008, Malaysia menduduki tangga ke-68 dengan purata 6.36 mata, menurut penilaian kedua Economist Intelligence Unit. Dua tahun selepas itu, mata purata yang dipungut Malaysia menurun 0.15 kepada 6.19, membawa negara kita ke tangga 71.

Lima kategori yang dinilai termasuk proses pilihan raya dan pluralisme, fungsi kerajaan, penyertaan politik, budaya politik dan kebebasan sivil. Malaysia mengekalkan prestasi dalam kategori proses pilihan raya dan pluralisme (6.5) dan penyertaan politik (5.56).

Bagaimanapun, prestasi Malaysia meningkat dalam kategori Fungsi Kerajaan, melonjak dari 6.07 pada tahun 2008 kepada 6.79 pada tahun 2010. Tetapi, Malaysia jatuh dari segi budaya politik, 7.5 pada tahun 2008 kepada 6.25 pada tahun 2010. Kebebasan sivil juga memperlihatkan penurunan 0.3, dari 6.18 tahun 2008 kepada 5.88 pada tahun 2010.

Kebebasan media: Malaysia berundur

Apa yang menarik, laporan Economist Intelligence Unit menunjukkan bahawa Malaysia adalah salah satu daripada 36 buah negara yang berundur langkah dari segi kebebasan media. Hanya empat buah negara Asia tersenarai dalam kategori ini, iaitu Fiji, Sri Lanka dan Thailand, selain Malaysia.

Laporan menjelaskan faktor yang menjurus kepada pengunduran dari segi kebebasan media – banyak kerajaan yang merasakan dirinya tergugat akibat krisis kewangan tahun 2008, lantas mengetatkan kawalan media dan menyekat kebebasan bersuara. Pada masa yang sama, kadar penggangguran yang meningkat pula menjuruskan sikap pengamal media untuk ‘lebih berwaspada’, supaya tidak kehilangan kerjayanya.

Tidak dinafikan juga bahawa trend pemusatan pemilikan media semakin ketara, dan membawa impak negatif kepada kemajmukan dan kebebasan bersuara. Pada masa yang sama, negara diktator yang semakin kuat akan menyekat dan menekan media yang bebas. Lebih ketara, serangan terhadap pengamal media bebas juga semakin meningkat.

Negara Eropah Utara berada di depan

Negara yang tinggi indeks demokrasinya kebanyakannya tertumpu di Eropah Utara, dengan Norway pada kedudukan tertinggi, disusuli Iceland, Denmark dan Swedan. Negara lain yang berada dalam kedudukan 10 tertinggi di dunia termasuklah New Zealand (5), Australia (6), Finland (7), Switzerland (8), Kanada (9) dan Netherlands (10). Negara demokrasi terbesar kononnya, Amerika Syarikat berada pada tangga ke-17.

Antara negara Asia pula, Korea Selatan berada pada kedudukan tertinggi, iaitu ke-20, diikuti Jepun (22) dan Taiwan (36), yang juga jatuh tiga anak tangga seperti Malaysia. Di negara Asia Tenggara pula, Timor-Leste berada pada kedudukan tertinggi, meningkat lima tingkat dari 47 pada tahun 2008 kepada 42 pada tahun 2010.

Jika dibandingkan dengan negara jiran Malaysia pula, Thailand jatuh dari kedudukan 54 kepada 57, Indonesia pula meningkat secara mendadak dari 69 kepada 60; sementara Filipina melonjak dari 77 kepada 74, ketinggalan tiga anak tangga berbanding Malaysia. Singapura kekal pada kedudukan 82, dan tidak mengalami sebarang naik turun dalam setiap kategori yang dinilai.

Pengunduran demokrasi

Menurut laporan Economist Intelligence Unit, gelombang demokrasi global ketiga yang bermula sejak tahun 1974 mencapai kemuncaknya ketika runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989. Namun demikian, 167 buah negara di merata dunia mengalami democracy recession, yang dikatakan Larry Diamond dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Kini, situasi di seluruh dunia digambarkan sebagai “democracy retreat”, malah laporan mendakwa krisis kewangan tahun 2008 menonjolkan lagi trend politik yang sudah begitu negatif pada asalnya.

Menurut perhitungan Economist Intelligence Unit, hanya 26 buah negara dianggap negara demokrasi yang sebenar, daripada 167 buah negara. Populasinya hanya 12.3% daripada populasi dunia. Terdapat 53 negara yang demokrasi tempang, dengan nisbah populasi 37.2%. 33 negara berada dalam keadaan campuran dengan nisbah populasi 14% dan 55 negara diktator, dengan populasi 36.5%.

Seandainya negara yang mengalami ketempangan dalam demokrasinya disenarai dalam kategori ‘negara demokrasi’, maka hampir 50% populasi dunia masih berada dalam zon demokrasi. Namun, terdapat 2.5 bilion orang penduduk, iaitu lebih daripada satu pertiga umat bumi yang masih berada di bawah kuku besi diktator-sememangnya, negara China memberi sumbangan yang tidak kurang dalam hal ini.

Jumaat, 24 Disember 2010

Negara tak akan muflis kerana imbuhan khas pendidik PR, jamin Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan inisiatif imbuhan khas pendidik bulanan RM500, dijanjikan Pakatan Rakyat, tidak akan menyebabkan negara muflis sebagaimana didakwa kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Saya kesal dengan kenyataan Menteri Pelajaran (Tan Sri Muhyiddin Yassin) baru-baru ini yang memperlekehkan peranan guru sebagai pembina negara.

“Beliau menyebut bahawa tindakan memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap orang setiap bulan akan menyebabkan Malaysia muflis,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat (gambar) ini dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, Pakatan Rakyat telah meneliti kesan kewangan akibat pelaksanaan imbuhan khas pendidik bulanan itu.

Inisiatif menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan merupakan salah satu daripada 10 perkara yang terkandung dalam Program 100 Hari Pakatan Rakyat yang diumumkan menerusi Buku Jingga pada konvensyen mereka di Pulau Pinang, Ahad lalu.

Pakatan Rakyat berjanji akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan dalam Dasar Bersamanya.

Tegas beliau, Pakatan Rakyat percaya bahawa tindakan utama yang perlu diambil untuk memulihkan kualiti pendidikan negara adalah dengan menjaga kebajikan guru secara berterusan dan bertanggungjawab.

“Oleh itu, jumlah RM3.2 bilion setiap tahun bukanlah jumlah yang terlalu besar demi masa depan anak-anak Malaysia,” katanya.

Pakatan Rakyat menganggarkan kos itu dengan mengambil kira kewujudan 537,221 jawatan dalam perkhidmatan pendidikan termasuklah pengurusan kementerian (24,153), dasar dan pembangunan pendidikan (4,059), operasi pendidikan (498,399) dan pembangunan profesionalisme keguruan (10,610).

“Usaha menaik taraf mutu pendidikan negara bermula dengan reformasi pendidikan dari pihak atas sehinggalah ke tahap pengajaran di bilik darjah (keberkesanan pembelajaran dan pengajaran).

“Oleh itu, Pakatan Rakyat berhasrat untuk memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 kepada semua pegawai dan guru yang bertanggungjawab di dalam sistem pendidikan kita,” kata beliau.

Menurut Anwar, inisiatif itu akan menelan belanja RM3.2 bilion setahun dan jumlah itu adalah kecil jika dibandingkan dengan pembaziran-pembaziran lain yang kini berleluasa di bawah Umno-Barisan Nasional (BN).

Dalam ulasan yang dilihat sindiran, kata Anwar, kos perbelanjaan semua lawatan Perdana Menteri ke luar negara setakat ini sebanyak RM8.7 juta boleh menanggung imbuhan bagi 1,450 orang guru.

Malah, katanya, bayaran kepada APCO sebanyak RM77 juta bagi 2009 boleh menampung imbuhan bagi 12,800 orang guru iaitu keseluruhan tenaga kerja yang membangunkan profesionalisme keguruan.

“Pembaziran Umno-BN sebanyak RM131 juta bagi menampung perbelanjaan perunding dan kos operasi Pemandu bagi 2010 boleh membayar imbuhan bagi 21,833 lagi orang guru iaitu hampir keseluruhan tenaga kerja kementerian.

“Ini belum lagi pembaziran-pembaziran mega seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada sektor korporat dan kroni, kos menyelamatkan kroni yang melibatkan Empangan Bakun sebanyak RM6 bilion dan ketirisan akibat rasuah yang dianggarkan mencecah RM28 bilion setiap tahun,” kata Anwar, bekas menteri kewangan.

Justeru, Anwar berpendapat bahawa persoalan sama ada negara mampu membayar imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap bulan ini tidak timbul.

“Perkara yang sebenar adalah keikhlasan Umno-BN untuk mengangkat martabat pendidikan di negara ini,” katanya lagi.

Menurut Anwar lagi, hakikatnya bidang pendidikan tidaklah berada dalam senarai kepentingan Umno-BN.

Ketika berada dalam kerajaan Anwar juga pernah menjadi menteri pelajaran.

“Isu kualiti pendidikan telah ditimbulkan sejak sedekad yang lalu, tetapi sehingga kini tidak ada satu langkah konkrit untuk mengiktiraf sumbangan guru di samping memastikan kerjaya perguruan menarik minat calon-calon yang berkualiti tinggi,” katanya.

Justeru kata beliau, langkah Pakatan Rakyat memperkenalkan imbuhan ini adalah langkah pertama ke arah memartabatkan kerjaya perguruan setaraf dengan kerjaya profesional lain seperti jurutera, doktor dan akauntan.

Semalam, The Malaysian Insider melaporkan persetujuan Perdana Menteri untuk menubuhkan satu badan perundingan khas untuk menyelesaikan isu-isu perkhidmatan perguruan.

Najib memaklumkan perkara itu selepas merasmikan persidangan tritahunan Cuepacs kelmarin.

Perkara ini telah disyorkan Cuepacs sejak 2002 tetapi menurut Anwar, hanya selepas Pakatan Rakyat membuat cadangan yang konkrit untuk menaikkan martabat perguruan, Umno-BN memberikan reaksi cemas.

“Baru sekarang, Perdana Menteri mahu mendengar keluh kesah guru-guru yang bergelumang dengan pelbagai masalah setiap hari,” katanya lagi.

Anwar juga menegaskan, ia bukanlah caranya kerajaan merancang kebajikan pendidikan negara.

“Tanggungjawab menjaga kebajikan guru-guru bukanlah satu reaksi yang hanya ada tindakan apabila Pakatan Rakyat bersuara,” katanya.

Budak sekolah pun kena masuk umno ke??

Umno Gelabah Biawak Dengan Janji 100 Hari

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hairan dengan sikap Perdana Menteri serta Timbalannya yang mendakwa 'janji 100 hari Pakatan Rakyat' tidak berpijak kepada realiti.

Mengulas kenyataan Datuk Seri Najib itu, Tuan Ibrahim berkata janji Pakatan bukannya kosong malah sudah menilai kemampuan sebenar dari segala aspek termasuk kemampuan ekonomi negara.

"Kita pelik bagaimana Perdana Menteri dan timbalannya mengatakan bahawa janji Pakatan ini diluar kemampuan kerajaan.

"Untuk memberikan imbuhan RM500 kepada guru-guru tidak ada kemampuan, tetapi membina menara warisan berharga RM5 bilion mereka mampu. Malah memberi RM500 juta seorang kroni sebagai komisyen pembelian kapal selam BN mampu lakukan.


"Begitu juga BN mampu berikan subsidi sehingga RM20 bilion untuk IPP (penjana tenaga bebas), tetapi untuk rakyat dikurangkan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Menurutnya, Pakatan Rakyat yakin berkemampuan melaksanakan janji 100 hari Pakatan memerintah negara kerana ianya telah dibuat melalui kajian terperinci melibatkan tenaga pakar pelbagai bidang.

Keyakinan itu juga jelasnya berasaskan kepada perubahan pengurusan kewangan negara yang akan dilakukan dengan menghapuskan amalan rasuah, penyelewengan, pembaziran dan salah urus pentadbiran kerajaan BN.

Perkara tersebut tegasnya telah berjaya dibuktikan dalam pemerintahan Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak ketika Pakatan memerintah negeri itu.

"Di Kedah, ketelusan pengurusan kewangan negeri menyebabkan hasil balak meningkat daripada RM7 juta zaman BN kepada RM35 juta dibawah pemerintahan Pakatan.

"Di Pulau Pinang, bajet negeri berlebih sebanyak RM77 juta pada tahun 2009 dan RM88 juta pada tahun 2008 dalam keadaan negeri dibawah BN difisit teruk dalam perbelanjaan negeri," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Ujarnya lagi, rakyat perlu mengetahui, bahawa sebahagian besar janji Pakatan ini hanya melibatkan perubahan polisi yang selama ini hanya menguntungkan BN sahaja dan memangsakan rakyat.

"Antaranya usaha kita untuk menghapus Felda Plantation bagi melibatkan peneroka dikalangan generasi kedua Felda memang sesuatu yang mampu dilakukan. Selagi Umno BN memerintah, ianya memang tidak boleh dilaksanakan.

"Rakyat tidak perlu bimbang untuk menukar kerajaan kepada Pakatan, kerana mereka tetap diberi hak untuk mengubah kerajaan dimasa akan datang, sekiranya janji Pakatan tidak ditunaikan," katanya.

Khamis, 9 Disember 2010

Satu Dunia Menyaksikan, Bagaimana Polis Boleh Menafikan Kekejamannya?







Polis nafi bertindak luar batas undang-undang bagi leraikan demo

KUALA LUMPUR — Polis menafikan pihaknya bertindak di luar peruntukan undang-undang bagi meleraikan perhimpunan dan perarakan penyokong yang membantah kenaikan tarif 37 peratus air Selangor di Masjid Negara Ahad lepas, sebaliknya hanya mengambil tindakan yang minimum untuk menyuraikan kumpulan tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata polis telah memberikan kerjasama dengan memberi laluan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membolehkan beliau menghantar memorandum tersebut ke Istana Negara.

“Menteri Besar telah bersetuju dengan cadangan dan nasihat polis bahawa mereka tidak berarak ke Istana Negara dan selepas solat Zuhor di Masjid Negara, beliau telah diberi laluan bagi menyerahkan memorandum itu di Istana Negara,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas artikel bertajuk “Bar Council Slams Cops For Polis-State Mindset” dalam The Malaysian Insider yang menyatakan tindakan polis bagi meleraikan perhimpunan itu kasar dan menindas.

Zulkifli berkata kedegilan sekumpulan penyokong yang masih berkumpul dan berarak menuju ke Istana Negara menyebabkan polis terpaksa bertindak bagi menyuraikan perhimpunan sekaligus mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam di Bandaraya Kuala Lumpur

“Pada masa kini peruntukan Seksyen 27 Akta Polis 1967 masih berkuatkuasa dan selaras dengan artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, sebarang perhimpunan perlu mendapat lesen daripada polis terlebih dahulu,” katanya.

Ahad lepas, kira-kira 4,000 orang berkumpul dalam dua perhimpunan di Masjid Negara bagi membantah kenaikan tarif 37 peratus air Selangor.

Kedegilan kumpulan penyokong itu yang enggan bersurai serta mengganggu tugas polis menyebabkan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata.

Akibat perhimpunan itu, ribuan warga kota terperangkap dalam kesesakan jalan raya selain mendatangkan kerugian kepada peniaga di sekitar lokasi perhimpunan. — Bernama

Mahathir Terus Kritik Kerajaan Najib

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad hari ini mempertikaikan keperluan kerajaan menggantikan pesawat tempur buatan Rusia, MiG-29 dengan pesawat baru.

NONEDalam blognya, Mahathir berkata kerajaan seharusnya mengikut jejak langkah India yang hanya menaik taraf pesawat tempurnya dan tidak berbelanja jutaaan ringgit bagi membeli pesawat baru.

"Malaysia telah bekerjasama dengan India berkaitan pengubahsuaian pesawat buatan Rusia. Mungkin kita sepatutnya mengetahui apakah maksud sebenar menaiktaraf Sukhoi Su-30 dan MiG-29.

“Saya tidak pasti sama ada Malaysia menghadapi ancaman perang. Jika tidak, adalah lebih baik untuk hanya membaik pulih pesawat yang ada,” kata Mahathir.Menurut beliau, berdasarkan laporan antarabangsa, India dikatakan akan menaik-taraf pesawat Sukhoi-30MKI milik negara itu manakala MiG-21 mungkin 'dibersarakan' namun MiG-29 akan dinaik-taraf.


Menteri Pertahanan Datuk Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mendakwa pesawat MiG buatan Russia harus diberhentikan kerana kos penyenggaraannya semakin tinggi.

Mahathir sebelum ini mengingatkan kemungkinan wujud orang tengah yang akan mengaut keuntungan berganda dengan keputusan untuk membeli pesawat tempur baru dan menjual yang lama.

Beliau juga berekata keputusan kerajaan menukar pesawat MiG dipengaruhi oleh pihak yang berkepentingan sendiri.

russia military might 220808 04Sebelum ini, Zahid memberitahu Dewan Rakyat bahawa penamatan perkhidmatan pesawat selama 10 tahun itu adalah kerana peningkatan ketara kos penyelenggaraan dan operasi pesawat buatan Rusia itu,

Kementerian Pertahanan dilaporkan menimbang untuk menggantikan pesawat MiG buatan Rusia sama ada dengan SU-35, FA-18 E/F Super Hornet, JAS Gripen, Eurofighter Typhoon, Dassault Aviation Rafael, F-16 C/D Block 52 atau F-15 Eagle.

Undi Pos Untuk Semua Rakyat Malaysia

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) membantah sekeras-kerasnya cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang mahu menjadikan golongan doktor, jururawat, juruterbang dan wartawan sebagai pengundi pos.

DPPWP berpendapat, menggunakan sistem undi pos terhadap golongan profesional ini menutup lagi ruang demokrasi negara yang kian dipertikaikan rakyat.

DPPWP menegaskan undi pos adalah talian hayat kerajaan UMNO-BN. Cadangan SPR seakan mahu menambah lagi jangka hayat pemimpin UMNO-BN terutama di kawasan yang mereka tidak selamat. Apakah SPR mahu menjadi sebuah lagi parti komponen Barisan Nasional dengan menjalankan usaha yang licik buat membantu memenangkan UMNO-BN dalam PRU ke 13?


Sistem undi pos telah lama dipertikaikan rakyat. Apakah jaminan SPR ketelusan undi pos dapat dijalankan dengan baik memandangkan ada pengalaman anggota tentera yang tidak dapat mengundi pos semasa mereka bertugas kerana telah diundi oleh pihak atasan mereka?

Dalam Pilihanraya kecil di Bagan Pinang, daftar pemilih SPR tidak sama dengan daftar pemilih tentera, serta kertas undi boleh diserahkan di mana-mana termasuk di kompleks beli belah. Bagaimana kertas undi yang dipos dua hari sebelum mengundi mampu dipulangkan balik tepat pada masanya tanpa berlau kesilapan.

Hampir setiap pilihanraya kecil atau umum, kemenangan besar calon BN diraih melalui undi pos dan terlalu sedikit yang mengundi calon pembangkang. Mungkinkah semua anggota tentera adalah ahli BN atau pengundi tegar BN di mana-mana kawasan?

Dalam kes anggota tentera, DPPWP mempersoalkan keperluan SPR menjadikan golongan ini sebagai pengundi pos memandangkan suasana negara yang tidak mendesak sedemikian. Dalam keadaan aman dan tenteram sebeginilah, ruang demokrasi perlu dibuka seluas-luasnya dengan memberi peluang anggota tentera mengundi sebagaimana pengundi yang lain.

Alasan SPR mahu menjadikan kumpulan profesional ini sebagai pengundi pos hanya semata-mata mahu memberi peluang kepada mereka untuk mengundi kerana terlalu sibuk bekerja adalah alasan yang tidak boleh diterima. Golongan ini bekerja mengikut jadual dan syif.

DPPWP tidak fikir sekiranya mereka turun mengundi mengikut jadual sepertimana golongan profesional yang lain, menyebabkan operasi kerja mereka terjejas. Kalaulah mereka tidak berpeluang mengundi kerana sedang bekerja, mereka tidaklah mewakili golongan majoriti yang perlu dijadikan sebagai pengundi pos.

Dalam hal ini, SPR perlu mengelak hari bekerja sebagai hari mengundi sepertimana yang dibuat ketika beberapa pilihanraya kecil baru-baru ini. Ini lebih menyukarkan semua golongan bekerja untuk turun mengundi.

Sekiranya SPR berkeras juga mahu menjadikan golongan doktor, jururawat, juruterbang dan wartawan sebagai pengundi pos, DPPWP mengesyorkan agar menjadikan semua golongan profesional sebagai pengundi pos.

Bukan setakat itu, mahasiswa yang layak mengundi, penoreh getah, pekebun, pemandu teksi dan bas, nelayan, peniaga dan lain-lain juga boleh dijadikan sebagai pengundi pos memandangkan semua golongan ini sibuk bekerja dan tidak mampu meninggalkan tempat kerja mereka untuk turun mengundi. Dengan demikian, mudahlah BN meraih kemenangan besar dalam PRU ke 13 akan datang!

Fadhil Osman [Harakah]
Penulis adalah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Pembangkang Bukan Anti Nasional

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata golongan yang menentang kerajaan selama ini bukannya anti nasional.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu berkata terdapat perbezaan antara anti nasional dan perjuangan menentang penyelewengan, jenayah dan rasuah yang berlaku.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen pada Isnin.

Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Semalam, ketika berucap pada Konvensyen Barisan Nasional, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pembangkang sebagai anti nasional dan sanggup melakukan apa saja termasuk memburuk-burukkan nama Malaysia di luar negara bagi mencapai matlamat mereka.

Umno Khianati Janji Pada Rakyat

Janji-janji pemimpin kerajaan BN ternyata tidak boleh dipegang kerana mereka ternyata hanya sekadar tahu berjanji tetapi tidak pula jujur dan tahu menunaikan segala janji-janjinya kepada rakyat sejak dulu, melainkan hanya sekadar mahu menggula-gulakan rakyat untuk meraih undi bagi mencapai kemenangan dalam pilihanraya.

Lebih jauh dari itu, slogan yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri juga, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" tidak boleh dipegang oleh rakyat kerana slogan tersebut hanya sekadar slogan, tetapi ia tidak pula dilaksanakan seperti yang digembar-gemburkan itu.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh berkata, realiti itu terserlah apabila kerajaan BN sejak 3 Disember lalu telah mengambil keputusan menaikkan harga barangan keperluan utama rakyat, petrol, diesel, gas dan gula, sehingga menyebabkan rakyat semakin terhimpit walaupun ia telah dijanjikan tidak akan dinaikkan.


"Pada hal, 2 November 2010 yang lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan RON97 ditentukan oleh syarikat pengeluar minyak. Kerajaan tidak bertanggungjawab terhadap kenaikan harga minyak petrol RON97 kerana harga bahan mentah itu dikawal sepenuhnya oleh pasaran terbuka,” katanya.

"Bagaimanapun kerajaan memberi jaminan harga minyak RON 95 tidak akan naik dalam tempoh terdekat. Rakyat juga tidak perlu risau kerana kerajaan juga tidak ada perancangan untuk menaikkan harga minyak RON95 dalam tempoh terdekat," kata Ismail Sobri seperti yang dilaporkan media tempatan.

Malangnya pada 3 Disember lalu, berkuatkuasa pada jam 12.01 minit pagi, harga petrol RON95 telah dinaikkan 5 sen menjadikannya berharga RM1.90 seliter. Dua hari setelah itu, petrol RON 97 naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter. Kenaikan itu dikatakan kerana harga minyak dunia yang diapungkan sejak Julai lalu.

Selain itu, harga diesel pula dinaikkan 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter, manakala gas LPG juga naik 5 sen menjadikan harganya RM1.90 sekilogram. Harga gula pula dinaikkan 20 sen menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.

Pada hari yang sama, Bernama melaporkan Menteri yang sama juga telah berkata sekali lagi bahawa harga barang seperti gandum, beras dan minyak masak dijangka tidak akan dinaikkan buat masa ini. Kononnya kerajaan juga masih mengekalkan subsidi ke atas barangan berkenaan memandangkan ia adalah barangan keperluan semua rakyat di negara ini.

"Percayakah anda akan kata-kata beliau itu? Ternyata segala janji pemimpin BN tidak boleh dipegang. Itu semua samalah dengan slogan yang diwar-warkan oleh Datuk Seri Najib itu sendiri yang juga tidak boleh dipegang. Sebaliknya, tindak-tanduk para pemimpin BN ternyata tidak pernah mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian, tetapi hanya menekan dan menzalimi rakyat dalam segala aspek.

"Mereka ternyata hanya mementingkan diri mereka sendiri sahaja, bukannya mementingkan rakyat. Jadi, rakyat mesti sedar perkara ini. Jika rakyat tidak sedar dan terus tertipu dengan janji-janji pemimpin BN, para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyatlah yang mesti menyedarkan rakyat agar tidak terus tertipu dengan permainan politik kotor mereka itu," tegas Nuridah ketika dihubungi hari ini.

Kenaikan harga petrol, disel, gas dan gula, katanya, sememangnya amat menyusahkan rakyat di semua peringkat, termasuk para penganut Kristian yang akan merayakan sambutan perayaan mereka tidak lama lagi, tetapi para pemimpin BN tidak pernah memikirkan masalah rakyat.

Selain itu, beliau juga kesal kerana kerajaan BN turut menzalimi rakyat dalam aspek air, apabila sanggup bertindak untuk menaikkan harga air di Selangor, sehingga memaksa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengambil tindakan tegas untuk membantu rakyat yang sedang dizalimi oleh kerajaan BN.

Sehubungan itu, katanya, Wanita Pakatan Rakyat dalam mesyuaratnya di bangunan Parlimen hari ini antara lain telah memutuskan untuk mengambil tindakan aktif berhubung perkara itu.

Antara lain, mereka akan berjumpa dengan orang ramai untuk mengedarkan risalah untuk menyedarkan orang ramai agar tidak lagi terus tertipu dengan para pemimpin BN dan memberi undi kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang.

Selain berjumpa orang ramai di kampung-kampung, mereka juga akan mengedarkan risalah itu kepada orang ramai yang akan pulang berhari raya di kampung di plaza-plaza tol, bagi membolehkan rakyat faham tentang realiti sebenar para pemimpin BN yang tidak pernah mementingkan rakyat, tetapi hanya mementingkan diri mereka sendiri sahaja.

"Jadi rakyat mesti disedarkan agar tidak lagi memberi undi kepada BN, tetapi kepada Pakatan Rakyat kerana hanya dengan cara itu barulah kehidupan rakyat akan terbela," ujar beliau. - Hrkh