Khamis, 11 Julai 2013

Gendang GST makin kuat bagaikan makin dekat !

Menteri Kewangan menafikan GST dalam masa terdekat tetapi bunyi riuh rendah GST kedengaran semakin kuat di mana-mana. Rakyat pula terus lelah melihat harga barangan keperluan di pasar, di kedai-kedai runcit, semakin melambung tinggi. Paling sakit hati harga barangan sudah tidak ada pengumuman kenaikan harga dah, naik senyap-senyap je! Orang yang tak biasa turun membeli keperluan hidup tak tahu, orang yang biasa membeli amat tahu, semuanya mahal hari ini! Hari-hari rakyat di luar bandar terutama orang Melayu merungut, harga barang makin mahal. Namun pangkah tetap pangkah Umno/Bn! Berpolitik cara tidak cerdik jugak yang dipilih, pilih Umno/Bn sampai ke tua!! GST kini makin dekat!

Rabu, 3 Julai 2013

Hanya satu dari lima laporan rasuah disiasat SPRM

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM hanya membuka satu kertas siasatan dari setiap lima kes yang dilapor, dedah Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli. Beliau membandingkan statistik tahun 2011 antara SPRM dengan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC). Menurut Rafizi, sebanyak 6,475 maklumat berhubung rasuah diterima SPRM pada 2011, namun hanya 1,304 atau bersamaan 20% kertas siasatan yang dibuka. Berbanding ICAC yang menerima 4,010 laporan, namun membuka 3,072 kertas siasatan bersamaan 77% dari keseluruhan maklumat rasuah di Hong Kong pada tahun yang sama. “Ini mengukuhkan lagi persepsi rakyat yang meragui keberkesanan SPRM. Menteri yang bertanggungjawab harus mengambil cabaran ini dengan serius,” kata Rafizi di Dewan Rakyat. Tambah Rafizi, sabitan kesalahan kes dikendalikan ICAC lebih tinggi mencecah 86% berbanding kesalahan kes yang dibawa oleh SPRM, iaitu sekadar 68%. Tegasnya, SPRM perlu membuktikan keberkesanan melalui pendakwaan terutamanya melibatkan laporan terhadap tokoh besar, seperti Ketua Menteri Sarawak, Tan Seri Abdul Taib Mahmud. Penolong Pesuruhjaya Bahagian Siasatan SPRM, Lim Bee Kean pada 29 Jun mendedahkan, badan itu perlu meneliti 400 fail dan kenyataan lebih 20 individu melibatkan kes rasuah Taib Mahmud. “Mengatasi persepsi terhadap SPRM bukan semata-mata melalui iklan atau kempen jenama mahal yang menelan wang rakyat,” tegasnya.

Akhirnya PERKASA sedar diri.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali (gambar) kesal berikutan kerajaan tidak menghargai peranan mereka sebaik pilihan raya umum (PRU) berakhir. Beliau berkata, kerajaan tidak mengambil berat isu yang dibangkitkan oleh kumpulan pendesak Melayu, sebaliknya sanggup mendengar permintaan kumpulan lain yang disifatkannya biadap dan menggugut kerajaan. "Nasihat oleh Perkasa langsung tidak dihargai, kerajaan tak endah apa yang ditekankan oleh Perkasa" Kerjasama baik yang kami berikan tidak disambut baik, sebaliknya kumpulan lain yang lebih agresif, biadap dan guna kaedah menggugut mendapat layanan lebih istimewa," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur hari ini. Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mengungkit pertemuan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Dong Zong dan Hindraf, malah menjemput paderi ke Putrajaya. "Mereka (kerajaan) sanggup dengar permintaan dan aduan daripada kumpulan tersebut tetapi tidak pula dengan Perkasa. "Kerajaan jumpa Dong Zong, Hindraf dan paderi sebelum pilihan raya, tapi ada tak dengar Perkasa dapat layanan sama? Ada tak pemimpin Umno yang hadir ke mesyuarat Perkasa atau rasmikan majlis anjuran Perkasa?" katanya. 3 Julai, 2013.

Isnin, 1 Julai 2013

Asal boleh tibai DSAI mesti muka depan

Sewaktu Senator Nick Xenophone dihalau pulang dari Malaysia lantaran keterlibatan aktifnya dalam politik negara ini serta keakrabannya dengan pemimpin oposisi, pesuruh propaganda United Malays National Organisation begitu bersemangat sekali menyuruh Senator Australia itu tidak masuk campur urusan politik Malaysia. Malaysia, bagi orang UMNO, dan politik Malaysia terutamanya hanya boleh dibicarakan, atau dimainkan oleh orang Malaysia sahaja. Malah para macainya turut galak menyatakan bahawa ehwal politik Malaysia hanya patut dikerjakan oleh mereka yang ‘ahli’. Dalam kata lain, hanya politisi UMNO. Selain daripada itu, tak boleh. Maka apabila saya melihat obsesi lidah rasmi UMNO dengan politisi Indonesia, si Jusuf Kalla; saya jadi keliru. Adakah Jusuf Kalla itu halal terbabit politik Malaysia kerana dia bersongkok macam orang UMNO? Muka depan Utusan Malaysia minggu lalu memetik Jusuf (disebut ‘Yusuf’) sebagai menyebut bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai imaginasi yang melampau. Selalunya kalau tajuk berita seperti ini disiarkan Utusan Malaysia, kita akan menyangka bahawa Utusan Malaysia mahu bercerita mengenai fantasi pelik Anwar yang pernah diberitahu kepada Jusuf. Ya lah, Utusan dan kelucahan kan hampir langsung tidak dapat dipisahkan. Tetapi Utusan Malaysia kali ini cuba memberitahu kita bahawa Anwar berimaginasi mahu menjadi Perdana Menteri meski kalah pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu. Apa yang Utusan Malaysia tidak beritahu kita adalah Pakatan Rakyat yang dipimpin Anwar tidak kalah, malah menambah bilangan kerusi di Parlimen. Utusan Malaysia juga tidak beritahu kita bahawa 51% daripada jumlah keseluruhan pengundi memilih Pakatan Rakyat dan kerajaan UMNO yang ada hari ini ialah kerajaan minoriti yang gagal kelihatan popular di mata keseluruhan pengundi serata negara. Namun disebabkan Utusan Malaysia ini akhbar milik UMNO dan melazimi fitnah dan mahir manipulasi politik persepsi, maka disembunyikan hakikat yang itu dan sekadar bermain retorika imaginasi Anwar dan keinginan rakyat untuk menggulingkan pemerintahan Barisan Nasional (BN). Seolah-olah BN, Najib Razak, Muhyiddin Yassin langsung tak ada nafsu untuk menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Dan Jusuf Kalla dipergunakan UMNO dan organ propagandanya untuk memperlihatkan apa yang ia mahu rakyat tahu. Langsung tidak disebut apa sebenarnya rundingan belakang pintu yang dibuat antara ketiga-tiga pemimpin itu. Asalkan boleh membantai Anwar Ibrahim, maka itulah dia bahan berita muka depan Utusan Malaysia. Seolah-olah tak ada berita lain, meski sudah hampir dua bulan pilihan raya berakhir. Ternyata obsessi Utusan Malaysia dan UMNO dengan si Anwar Ibrahim ini sampai kiamat pun tak akan berakhir. Barangkali itulah imaginasi melampau Utusan Malaysia setiap malam sebelum tidur. Imaginasi yang menjadi igauan dan mimpi ngeri berulang kali – Anwar Ibrahim.-Roketkini

Polis, SPRM Dan SPR Buat Bodoh Sahaja Terhadap Kesalahan Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya bercuti daripada menjalankan tugasnya sehingga dua kes yang memalukan kerajaan Barisan Nasional (BN) selesai. Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang berkata, dua kes yang memalukan BN itu kerana Ahmad Zahid dituduh mencederakan Amir Abdullah Bazli pada Januari 2006 dan didakwa melanggar undang-undang pilihan raya kerana berbelanja lebih RM2 juta, melebihi had RM200,000 yang dibenarkan ketika berkempen untuk kerusi Parlimen Bagan Datoh, Perak pada PRU13 lalu. Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, dalam sebuah video yang dipaparkan dalam laman webnya sendiri, Ahmad Zahid mengakui mengupah 24,000 penyokong BN Bagan Datoh yang juga pengundi tempatan sebagai pekerja kempen ketika beliau bertanding untuk memenangi kerusi Parlimen itu. Katanya, dalam video terbabit, Zahid juga mengaku memberi setiap pekerja kempen RM100 dan 5 kilogram beras. Menurutnya, selain politik wang pada pilihan raya, Ahmad Zahid mengupah 24,000 ‘pekerja pilihan raya’ sedangkan jumlah keseluruhan pengundi di Parlimen Bagan Datoh hanya 34,670 pengundi dan jumlah undi yang diraih Ahmad Zahid sendiri hanya 17,176 undi. Ini bererti lebih daripada seorang ‘pekerja pilihan raya’ diperlukan Zahid untuk memenangi satu undi dan perkara itu boleh dianggap sebagai rekod tersendiri dalam sejarah pilihan raya Malaysia. “Saya bersetuju dengan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Mat Zain Ismail yang baru-baru ini menyatakan dalam surat terbuka bahawa keputusan Mahkamah Rayuan yang sebulat suara memerintahkan Ahmad Zahid menjawab tuduhan Amir Abdullah menunjukkan tuduhan itu kukuh dan menimbulkan pertikaian mengapa polis gagal mengambil tindakan terhadap Ahmad Zahid atas kesalahan itu,” kata Kit Siang dipetik Roketkini. Sementara itu, menurut laporan Keadilan Daily, PKR berusaha membatalkan kemenangan Zahid Hamidi di Parlimen Bagan Datoh dengan pendedahan bukti video pemberian rasuah untuk mengundi beliau. Video-video tersebut boleh didapati di Youtube yang mendakwa Zahid mengakui memberi RM100 kepada 23,000 orang dan 5kg beras dengan “pelekat” untuk diberikan kepada pekerja kempen BN. “Zahid fikir dia pintar. Dia mendakwa dia memberi rasuah kepada pekerja-pekerja parti. Undi yang dia dapat hanya 17,000 tetapi dia mengakui telah memberikan kepada 23,000 pekerja parti jadi ini bermakna 6,000 pekerja parti tidak mengundinya. “Dia sebenarnya mencari kelemahan dalam undang-undang untuk memberi rasuah.. semua orang tahu mustahil untuk anda memiliki 24,000 pekerja kempen,” kata Rafizi Ramli. Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dua petisyen pilihan raya difailkan berhubung salah laku calon BN di Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi termasuk membelanjakan lebih RM2 juta semasa berkempen. Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, petisyen pertama membabitkan sogokan dilakukan Zahid kepada pengundi dengan memberikan mereka wang RM100 dan 5 kilogram beras setiap orang. “Satu petisyen berasingan difailkan berhubung kesalahan melanggar had perbelanjaan RM200,000 yang dibenarkan untuk sesuatu pilihan raya dan kesalahan mengambil petugas pilihan raya dalam jumlah yang tidak munasabah,” katanya. Rafizi berkata, Zahid membelanjakan lebih RM2 juta ketika berkempen, iaitu melebihi had yang dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak RM200,000. Menteri Dalam Negeri itu juga menggunakan 24 ribu petugas pilihan raya, sepertimana diakui sendiri dalam video yang dimuatnaik di laman web rasmi beliau. Dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN petang tadi, Rafizi turut menunjukkan video berkenaan di mana Zahid turut mengaku memberi wang dan beras kepada pengundi. “Zahid telah melakukan tindakan kurang bijak dengan menayangkan kenyataannya secara terang-terangan,” kata Rafizi kepada media.

Pahang Negeri Pertama Larang adakan Tazkirah di bulan Ramadhan