Isnin, 13 April 2015

KENYATAAN MEDIA : JENTERA KEADILAN UNTUK PILIHAN RAYA KECIL PERMATANG PAUH

Parti KEADILAN Rakyat maklum tentang pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh yang akan bermula dengan penamaan calon pada 25 April 2015, pengundian awal pada 3 Mei 2015 dan hari mengundi pada 7 Mei 2015.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh adalah kubu terpenting untuk perjuangan kami selama ini. Selain menjadi kerusi parlimen kepada Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim - Permatang Pauh adalah nama yang dipilih untuk disematkan kepada Deklarasi Permatang Pauh – gagasan besar kepada perjuangan Reformasi dan KEADILAN. Pilihan Raya Kecil ini sangat penting di dalam usaha meneruskan agenda Reformasi dan masa yang sama memberi mesej jelas bahawa segala bentuk kezaliman, kepincangan, penyelewengan dan salahguna kuasa oleh UMNO dan Barisan Nasional ditentang. Kemenangan di dalam Pilihan Raya Kecil ini menjadi bukti bahawa rakyat menolak dan mengecam pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dipilih sebelum ini secara sah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.
Jentera KEADILAN telah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil ini. Demi menzahirkan kesediaan kami; KEADILAN bersama Pakatan Rakyat akan melancarkan Jentera Pilihan Raya seperti berikut;
Pelancaran Jentera KEADILAN dan PAKATAN RAKYAT Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh
Tarikh : Selasa, 14 April 2015
Masa : 8:30 malam
Tempat :Dataran Rakyat Guar Perahu (bersebelahan Pusat Khidmat Parlimen Permatang Pauh, Jalan Taman Guar Perahu)
KEADILAN berbesar hati untuk menjemput seluruh rakyat dan rakan – rakan media bagi menghadiri majlis pelancaran ini.
DR AFIF BAHARDIN
Ketua Penerangan Negeri
KEADILAN Pulau Pinang

Siri 14: BN Tumbang, Anwar Bebas, Dr M Ditangkap, Disusuli Najib -Zainuddin Maidin

JIKA BN tumbang, Anwar akan dibebaskan, Dr Mahathir akan  ditangkap dan disusuli Najib pula. Itu andaian bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin, berikutan amaran Tun Dr Mahathir kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berundur bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada Zainuddin amaran itu mempunyai maksud tersirat. Berdasarkan tempoh masa yang masa ada, BN masih mempunyai masa untuk melakukan pembetulan dan menarik semula keyakinan rakyat kepada kerajaan, sebelum PRU14, diadakan, sekiranya Najib meletak jawatan yang disandang,

Dalam tulisannya, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menjelaskan pandangan bekas Perdana Menteri itu bukan sekadar ingatan untuk Najib malah buat diri Mahathir sendiri.
Menurut Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Zam, pengekalan BN untuk meneraju negara ini amat penting bagi mengelak pembangkang dari berkuasa.

Di situ, timbul andaian di atas, jika BN tumbang, bukan setakat Najib malah Mahathir sendiri akan menjadi sasaran.

“Tentunya bila PR menang Anwar Ibrahim akan dibebaskan seperti Mahathir membebaskan 21 orang tahanan ISA sebaik sahaja menjadi Perdana Menteri tetapi Dr.Mahathir sendiri yang dianggap sebagai authoritarian akan ditangkap dan ditahan lebih dahulu dan disusuli dengan tangkapan ke atas Najib dan lain- lain untuk didakwa atas tuduhan penyalahgunaan kuasa, skandal 1MDB atau lain lain”, dakwa Zam.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia, turut mengingatkan Perdana Menteri situasi sebenar pandangan pelbagai lapisan rakyat terhadap kepimpinannya. Katanya, kemunculan Perdana Menteri dalam program Soal Jawab Khas terbitan TV3 minggu lalu, masih tidak menyakinkan penonton.

Bahkan beliau menyifatkan penerampilan itu sekadar memenuhi seruan dari dalam parti terutama dari Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Anggota Parlimen Johor Bahru, Tan Shahrir Abdul Samad yang mahu Najib memberi jawapan langsung kepada umum mengenai perkara yang dibangkitkan Dr Mahathir.

“Yang tersembunyi ialah kemunculan Najib yang tergesa-gesa tanpa promosi pengumuman lebih awal di buat menerusi media cetak dan lain-lain media seperti yang biasa dilakukan terutama untuk meyampaikan mesej yang sangat penting kepada rakyat.

The Powers of Incumbency mestilah digunakan dengan bijaksana atau secara profesional, jika tidak ia lebih mendedahkan keadaan yang panik di sebalik wajah tenang dan berani. Inilah kesan negatif yang telah berlaku, tulisnya di laman blog http://zamkata.blogspot.com.

Tetapi apa yang jelas, andaian di atas boleh disifatkan sebagai..
  • Pakatan pembangkang sudah mula menampakkan kekuatan yang menggerunkan BN, walaupun PAS/DAP nampak macam bertelagah buat sementara.
  • UMNO sendiri sudah mula bergelora kerana dilanda beberapa kepincangan, termasuk yang melibatkan bekas PM, Tun Mahathir. 
Adakah perletakan jawatan PM ini sebagai permulaan kepada penyelesaian, atau permulaan kepada kejatuhan UMNO? (ibnuhasyim)

Siri 13: Serangan Terbaru Dr M Jatuhkan Najib? Mengapa..

KALI ini saya ingin melaporkan pandangan golongan rakyat dalam perbincangan malam tadi di sebuah restoran di KL. Kira-kira belasan orang hadir, terdiri ahli veteran PAS, veteran parti pembangkang bukan PAS, bekas pengarang, pegawai kerajaan yang hampir pencen, ahli bisnes pasar malam dan usahawan kecil-kecilan.

Kami berbincang ringan-ringan mengenai tajuk 'Apakah mungkin PM Najib Terpaksa Letak Jawatan?'. Kami berbincang mengenai 'serangan terbaru Dr Mahathir terhadap Najib. Ini beritanya.. 

Dua hari selepas Datuk Seri Najib Razak muncul di kaca televisyen menjawab secara langsung kepada kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadapnya, bekas perdana menteri itu kembali lagi dengan serangannya.

Dalam video yang dimuat naik di blog "Din Turtle", Dr Mahathir menafikan dakwaan Najib yang beliau kecewa dengan perdana menteri kerana tidak membina jambatan bengkok ke Singapura. Beliau juga mendakwa, Najib pada masa itu – ketika jambatan bengkok dari Johor Baru ke Singapura itu mula dicadangkan pada 2006 – menyokong projek itu.

Dr Mahathir mendakwa, apabila Najib mengambil alih tampuk pimpinan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau akan meneruskan beberapa dasar yang mereka persetujui ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri dan Najib menteri Kabinet.

"Harapan saya, bila Pak Lah dah takda (letak jawatan), dia akan buatlah jambatan tu, dan lain-lain, kereta api, macam-macamlah.. Perkara yang kita bersetuju semasa saya jadi perdana menteri, akan diteruskan selepas saya letak jawatan, tapi Pak Lah tak buat.
"Jadi, Najib ada satu masa sebut kata, walau Singapura setuju atau tak setuju pun, kami nak buat... Lepas tu bila dia jadi perdana menteri, dia tak buat," kata Dr Mahathir dalam satu daripada klip video itu.

Dr Mahathir berkata, beliau sedikit kecewa kerana Najib tidak menunaikan janjinya berhubung projek itu.

"Saya tak seronok sikitlah, dia tak buat. Pasal dia janji, bukan untuk saya, bukan saya nak dapat kontrak. Awak boleh periksa, tengok saya dah dapat berapa banyak kontrak, saya bukannya nak kontrak.
"Tapi saya punya sikap, berlain sikit daripada orang lain. Saya tak nak saya kow tow kepada Singapura," katanya.

Dalam wawancara beliau dengan TV3 pada 9 April, Najib berkata, Dr Mahathir mahu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dimansuhkan dan projek "jambatan bengkok" yang menghubungkan Johor dan Singapura dibina semula.

Katanya, dua isu itu mungkin sebahagian sebabnya bekas perdana menteri itu tidak habis-habis mengkritiknya.

"Ada satu, dua perkara yang dia nak saya buat... Misalnya dia tak setuju BR1M, dia minta saya buat jambatan bengkok ganti Tambak Johor..." kata Najib ketika itu, sambil menambah yang beliau menghormati Mahathir sama seperti beliau menghormati orang lain.

Projek jambatan bengkok melibatkan meruntuhkan tambak di bahagian Malaysia dan menggantikannya dengan jambatan enam lorong yang akan bersambung dengan Singapura.

Reka bentuknya bengkok kerana Singapura tidak bersetuju merobohkan tambak di bahagian mereka supaya jambatan yang lurus merentasi Selat Tebrau boleh dibina. Singapura menentang hebat cadangan merobohkan tambak dan membina jambatan bengkok itu.

Mengulas kenyataan Najib mengenai perkara itu dalam nada sinisnya seperti biasa, Dr Mahathir berkata: "Pasal 'bridge' (jambatan) ni, kalau tak dapat, saya mati lah."

Dr Mahathir menegaskan, Malaysia sepatutnya meneruskan projek membina jambatan itu dan mengecam Najib kerana hanya menurut kemahuan Singapura.

"Kalau Singapura tak nak buat, saya buat tempat saya, apa salahnya... Itu hak kedaulatan kita, dalam wilayah kita, perairan kita. Bahagian tambak itu kepunyaan kita..
"Jadi, bila saya dapati ada orang kow tow kepada Singapura, nak minta persetujuan Singapura untuk buat benda di dalam negara kita, mana kedaulatan kita? Mana kemerdekaan kita?"

Dalam satu klip video berasingan, perdana menteri ke-4 itu sekali lagi menegaskan tidak bersetuju dengan BR1M, mengatakan ia seperti memberi wang kepada mereka yang tidak layak menerimanya. Katanya, beliau setuju jika bantuan kebajikan diberi kepada orang miskin dan fakir, tetapi bukan dalam bentuk bantuan wang tunai kepada mereka yang mempunyai pendapatan.

"Saya tak setuju dengan BR1M kerana saya tak suka suap orang dengan duit percuma. Anda bagi RM500 kepada orang yang bergaji RM4,000 sebulan untuk apa?
“Dan, 17,000 orang Cina di Ipoh menolaknya terang-terangan, ini menunjukkan ia bukan sesuatu yang kita patut buat." (Sumber The Malaysian Insider)

Begitu. 

Setelah dibaca dan fahami bersama, bekas pengarang yang tidak mahu namanya disebutkan berkata, 

"Pada saya, PM Najib tetap bertahan tidak mahu letak jawatan.. kecuali terdesak sangat. Soalnya sekarang, kenapa Tun Mahathir bersungguh menyerang Najib seolah-olah mahu menjatuhkan Najib seperti jatuh Pak Lah Badawi sebelumnya?"

"Aku dapat maklumat yang mengatakan bahawa Tun M sedang merangka untuk menaikkan anaknya bagi meneruskan cita-cita politiknya, seperti yang berlaku kepada Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew... Akhirnya Lee berjaya meletakkan anaknya sebagai PM di Republik itu, walaupun dipegang orang lain sebelumnya." Sambut kawan kami seorang pegawai kerajaan yang hampir pencen.

"Ana pun rasa begitu. Kerana pemimpin yang bercita-cita tinggi biasanya begitu. Lihat Lim Kit Siang pemimpin DAP, meletakkan anaknya sebagai Setia Usaha jawatan terpenting dalam DAP dan memerintah Pulau Pinang." Tambah ahli veteran PAS yang berniaga di pasar malam.

"PKR, Anwar meletakkan isterinya sebagai Presiden, bahkan anaknya menjadi Naib Presiden. Isterinya dipindahkan ke DUN Selangor untuk memerintah Selangor. Takkanlah Dr M nak biarkan anaknya begitu saja dalam UMNO, walaupun sekarang memerintah Kedah?" Tambah  lagi ahli veteran PAS itu.

"Aku lihat dari sudut lain, sudut ekonomi." Kata ahli veteran parti pembangkang bukan PAS, seorang usahawan. 

Sambungnya, "Aku yakin Dr M masih perlukan wang, dia bukan macam Nik Aziz, zuhud. Apa lagi beberapa syarikat anaknya Mukhriz Mahathir dilaporkan mula bermasalah. Orang yang mungkir janji tidak mahu meneruskan projek perancangannya perlu disingkirkan! Maka jawatan perdana menteri perlu ditukar kepada orang lain."

Begitu kira-kira forum berbincangan kami malam tadi. Apakah mungkin PM Najib terpaksa letak jawatan? Walaupun agak lari tajuk sikit, tetapi bersetuju bahawa Dr M akan terus pastikan Najib benar-benar letak jawatan, kerana ia mahu penggantinya, yang akhirnya adalah dari darah dagingnya sendiri. Dengan itu kepentingan dan keselamatannya atau politiknya akan terus terpelihara.(ibnuhasyim)

Siri 12: Tun Daim Pula Tambah Percepat PM Turun, PM Sudah Tiada Sokongan Lagi?

Bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin berpandangan, para penyokong Datuk Seri Najib Razak kini mungkin hanya menunjukkan sokongan yang dibuat-buat kepada perdana menteri itu. 

Menurut bekas penasihat ekonomi negara itu, anggota Umno sememangnya akan menyatakan sokongan kepada presiden yang berkuasa pada masa itu. Daim bagaimanapun memberi amaran bahawa tindakan ini mungkin tidak mencerminkan sentimen sebenar anggota berkenaan.

“Kalau (seseorang) menjadi presiden, ada kuasa, di hadapan memang mereka sokong. Di belakang kita tidak tahu. Umno ini caranya memang begitulah
“Kalau depan dia taat setia kepada pemimpin tetapi sampai satu ketika apabila panik, mereka mendesak. Itu cara Umno," katanya dalam satu temubual bersama Malaysia Gazette.

Daim memberi contoh perdana menteri sebelum ini, Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang turut menerima sokongan ahli, namun tetap digulingkan.

"Macam Tunku Abdul Rahman, Tun Abdullah Ahmad Badawi, apabila sampai masanya, baru mereka ambil tindakan.
“Mungkin Umno masih yakin tetapi tidak senang hati sebab-sebab keadaan sekarang. Itulah yang kita takut terlambat," katanya.

Beliau mengulas mengenai sokongan yang disuarakan beberapa pemimpin Umno dan BN ke atas Najib ekoran serangan terbuka oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir. Mahathir antara lainnya membangkitkan mengenai pentadbiran dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB), pembelian jet mewah oleh kerajaan dan juga pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Menyentuh isu 1MDB, sekutu kuat Mahathir itu berkata, wujud konflik kepentingan apabila perdana menteri turut mempengerusikan lembaga penasihat firma yang dibelenggu hutang itu.

“Ia akan wujudkan konflik. Kalau menteri kewangan (buat) kesilapan, dia juga perdana menteri, hendak marah tidak boleh, hendak buang tidak boleh.
“Kalau menteri kewangan orang lain, kita boleh ambil tindakan. Sekarang ini memang susahlah sebab menteri kewangan adalah penasihat kepada 1MDB. Ini masalah besar.
“Saya pun tidak tahu, patut beliau fikir sedalam-dalamnya apa yang baik kepada negara,” katanya lagi.

Katanya, siasatan ketua audit negara ke atas 1MDB tidak sepatutnya mengambil masa yang lama kerana jabatan itu mampu menyiasat pelbagai syarikat berkaitan kerajaan dalam tempoh setahun. Katanya, kelemahan nilai ringgit dan kemerosotan keyakinan pelabur juga disebabkan tindakan kerajaan yang berbolak-balik dalam beberapa isu, termasuk 1MDB.

“Mungkin pasaran tidak percaya kepada kerajaan dan salah satu sebab mungkin disebabkan 1MDB.
“Selagi pasaran tidak yakin, tidak percaya, ringgit akan lemah. Bagaimana hendak bagi orang percaya kalau asyik bagi jawapan yang tidak betul?” soalnya.

Daim memberi contoh kenyataan 1MDB sebelum ini yang menafikan bahawa jutawan Tan Sri T Ananda Krishan Daim membantu firma tersebut melunaskan hutang. Kerajaan bagaimanapun mengaku di Parlimen bahawa ia sememangnya meminjam wang daripada Ananda.

“Macam mana orang mahu percaya. Kalau asyik beri jawapan salah akan timbul lagi banyak persoalan?,” soalnya lagi. -(sumber MK) 

Kalau sokongan yang ada ini  dibuat-buat, ertinya sekarang Najib tiada sokongan lagi bagi mempertahankan kedudukannya  sebagai PM sekarang? Apa lagi, akan merudumkah?

Siri 11: Najib Perlu Jawab Dr M -BNBBC' Pun Tekan PM Letak Jawatan?

PENGERUSI Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad, pun seolah-olah mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib letak jawatan juga ke..?

Ini berikutan dengan kenyataan beliau bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak wajar menjawab segala kritikan yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbirannya dengan kadar segera.

Pengerusi BNBBC Tan Sri Shahrir Samad berkata walaupun kurang bersetuju dengan kritikan terbuka Dr Mahathir itu, namun kelab itu berpandangan sudah sampai masa untuk Najib memberikan jawapan.

"Kami ada berbincang (dengan Najib), mana yang boleh kami jawab seperti isu jet, 1MDB dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), tetapi kami juga nasihat tentunya sampai masanya Najib kena berikan jawapannya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam..

Kata Shahrir, ini kerana kritikan Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat itu bukan hanya berkisar kepada soal pentadbiran malah turut bersifat peribadi.

Baru-baru ini, Dr Mahathir melalui laman blog chedet.cc telah mengkritik Najib secara terbuka serta keras apabila menyatakan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya Najib masih menerajui UMNO dan pentadbiran kerajaan Malaysia.

"Isu ini kadang-kadang kita tidak boleh buat tidak tahu dan saya percaya Najib akan beri jawapan kepada tuduhan ini," kata anggota Parlimen Johor Bahru itu.

Walaupun Shahrir menegaskan BNBBC akan terus berdiri teguh dan menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Najib.. "Sebagai anggota Parlimen, kami bukan golongan 'buta-buta' menyokong, kami berdiri bersama dengan perdana menteri."

Katanya seperti dilaporkan oleh Astro Awani.(ibnuhasyim)

Siri 10: Rosmah Dikaitkan Dengan Penolakan Najib Sebagai PM?

TOKOH wartawan terkenal Datuk A Kadir Jasin semalam menggariskan perbezaan antara bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan penyandang sekarang Datuk Seri Najib Razak, berkaitan kedudukan mereka di tampuk kuasa, sebagai perdana menteri.

Kadir, yang rapat dengan seorang lagi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata berbanding Abdullah atau Pak Lah, Najib lebih sukar ditangani.

“Pak Lah tidak ada isteri yang bercita-cita besar,” tambahnya yang dilihat ditujukan kepada isteri Najib, Rosmah Mansor, yang sering berdepan tanggapan negatif orang ramai.

Kadir juga berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi pilihan semula jadi untuk menggantikan Najib jika beliau berundur.

“Isterinya disenangi dan hal anak-anaknya jarang dilihat atau didengar.
“Satu-satunya yang orang ramai tahu ialah Najwa Mahiaddin kerana dia seorang penyanyi dan penggubah lagu.
“Kelebihan lain apabila beliau datang daripada keluarga kuat agama daripada Muar,” katanya dalam tulisan di blog.


Siri 9: Apabila Rafidah Aziz Pula Serang Najib...

APABILA wanita yang digelar Wanita Besi Malaysia dalam politik berkata beliau keliru tentang sesuatu, Ha, dengar betul-betul..

Lebih-lebih lagi apabila beliau terkenal dengan 'kebijaksanaan'. Jadi jika bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz, keliru tentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), apatah lagi golongan awam?

Rafidah, dengan gaya tanpa ada kekangan beliau, bercakap tentang GST apabila beliau dilaporkan berkata kebergantungan kerajaan dengan penggunaan kartun, papan iklan dan jargon teknikal seperti “berkadar sifar” untuk menjelaskan tentang cukai kepenggunaan menyeluruh beberapa tahun ini telah membuatkan pengguna Malaysia, termasuk dirinya, lebih keliru dengan sistem percukaian.

Beiau berkata kerajaan seharusnya tidak menggunakan jargon dalam menjelaskan apa itu GST kepada pengguna.

Rafidah berkata kerajaan seharusnya menerbitkan senarai barang yang dikecualikan dari cukai di setiap surat khabar dalam negara dengeran kadar segera kerana ianya akan membantu pengguna bersiap sedia untuk cukai kepenggunaan menyeluruh ini.

“Saya secara peribadi berasa bahawa sekarang ini, kita seharusnya sudah mempunyai senarai lengkap tentang kategori yang dikecualikan supaya rakyat akan tahu (barang) mana yang tiada cukai.
“Ia seharusnya tersedia dalam semua surat khabar, dalam semua bahasa, dan tidak seharusnya teknikal.
“Masalah kita adalah penjelasan setakat ini tidak begitu jelas. Kerajaan telah menggunakan sumber yang berbeza ataupun pendekatan yang berbeza, dan kebanyakan darinya bersifat sangat teknikal.
“Contohnya, siapa yang faham apa itu ‘berkadar sifar’?

Kenapa mereka tidak guna frasa ‘tak kena GST’. Dengan itu ianya lebih mudah dan senang untuk diingat,” Rafidah dipetik sebagai berkata. Ini, kata beliau, turut akan membantu pengguna mengenalpasti peniaga yang menaikkan harga barang yang tidak dikenakan GST.

Rafidah menekankan bahawa sisipan surat khabar akan lebih menjimatkan kos kerajaan berbanding menaikkan papan ikan besar seluruh negara.

“Beberapa masa lalu, terdapat sebuah papan iklan berdekatan rumah saya yang berkata pendidikan akan dikecualikan daripada GST. Malahan ada lukisan kartun padanya. Saya berfikir, apa yang dimaksudkan? Adakah yuran universiti atau yuran tuisyen dikecualikan daripada GST? Bagaimana dengan buku atau komputer atau alatan yang berkaitan dengan sekolah?

“Daripada berbelanja duit untuk papan iklan sebegini, pada waktu ini anda mungkin sudah mempunyai satu penerbitan lengkap tentang barang yang tidak dicukaikan,” Rafidah dilaporkan berkata.

Soal kerajaan menyahut saranan Rafidah, itu soal lain. Yang penting kini, Rafidah mula menyerang kepimpinan Najib.  Rafidah seolah-olah 'bersatu' dengan Tun Mahathir dalam menyerang Najib?

Tidak. Mungkin mereka tidak 'bersatu', kerana sekarang mereka sudah 'berdua'. Lebih kuat lagi, percepatkan Najib letak jawatan? (ibnuhasyim)

Siri 8: Ini Senjata, Paksa Najib Turun Dari PM?

DIRAMALKAN, inilah senjata atau kunci rahsia yang boleh memaksa Najib turun dari jawatan Perdana Menteri Malaysia.. Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad meneruskan lagi serangannya kepada Najib Razak dengan mendedahkan bahawa Sirul Azhar Umar, anggota polis yang didapati bersalah membunuh Altantuya tetapi kini melarikan diri ke Autralia, pernah menjadi pengawal peribadinya suatu ketika dahulu.

Kata Tun Mahathir, sewaktu bekerja dengannya, Sirul tidak pernah pula membunuh sesiapa. Sebagai makluman,  ketika didakwa melakukan pembunuhan Altantuya, Sirul adalah salah seorang pengawal peribadi ditugaskan menjaga Najib Razak yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri. Tiada sesiapa tahu atau sedar bahawa Sirul pernah menjadi pengawal peribadi Tun Mahathir sebelum ini.

Ia tidak pernah disebut di mana-mana atau didedahkan oleh sesiapa, termasuk ketika perbicaraan di mahkamah. Dengan pendedahan Tun Mahathir ini bukan saja  menunjukkan beliau tidak menunjukkan tanda-tanda akan berganjak sedikit pun daripada apa yang telah dimulakannya. Bahkan akan meneruskan dengan maklumat-maklumat baru lebih menarik lagi, yang mungkin itu menjadi kunci azimat  rahsia peluru kekuatan tembakannya.

Ramai yang mula meneka-neka ketika ini mengenai hubungan Tun Mahathir dengan Sirul, termasuk tindakannya melarikan diri ke Australia yang dilihat semata-mata untuk mengelakkan hukuman mati keatasnya. Tidak disangkal juga bahawa apabila Tun Mahathir mengatakan Sirul tidak pernah membunuh sesiapa ketika bertugas dengannya, ia adalah isyarat paling jelas bahawa anggota polis itu melakukannya semata-mata kerana menurut arahan.

Siapa yang memberi arahan itulah yang perlu disiasat? Jika Sirul menerima arahan daripada ketuanya, siapa pula yang memberi arahan kepada ketuanya itu? Tidak syak lagi pendedahan Tun Mahathir bahawa Sirul pernah bekerja dengannya adalah sesuatu yang dikatakan tambah memeningkan lagi kepala Najib ketika ini.

Tambahan lagi dengan ayat maut yang dilontarkannya, "Dia tak bunuh sesiapa pun ketika bertugas dengan saya".

Persoalannya kini ialah apakah Tun Mahathir mempunyai lebih banyak maklumat mengenai Sirul?  Apakah selepas ini maklumat itu akan didedahkan satu persatu untuk menekan Najib? Selain isu 1MDB yang digembar-gemburkan, apakah isu Sirul ini sebenarnya yang lebih dulu membuatkan Najib makin terhenyak kebingungan, ditembak oleh peluru kental Tun Mahathir itu.

Lalu akhirnya Najib meletak jawatan? (ibnuhasyim)

Siri 7: PM Letak Jawatan: Khairy Berpihak Kepada Tun M?

APAKAH Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sudah berpihak kepada Tun Mahathir Mohammad apabila beliau bersetuju  bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menjawab isu-isu yang dibangkitkan bekas PM itu bagi meredakan suasana?
  
Ketua Pemuda Umno itu berkata, meskipun beberapa isu yang disentuh Tun Mahathir itu sudah dijawab sebelum ini, namun ia perlu dijawab lagi.

"(Tun Mahathir mahu jawapan dari Najib) Saya rasa itu yang Tun Mahathir mahu. Kita boleh buat penjelasan tapi paling berkesan kalau Najib sendiri yang memberi penjelasan tersebut.
"Kalau ditanya (lagi) oleh Tun Mahathir bermaksud jawapan sebelum ini tidak cukup atau tidak jelas. Jadi, kita kena jelaskan lagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama di program menolak ekstremisme, di sini, hari ini. Lapor Sinar Harian.

Terbaru, Tun Mahathir dilihat kembali ‘menyerang’ Najib melalui tulisannya di blog chedet.cc, menyentuh mengenai kes Altantuya, 1MDB dan ‘Nasib BN’ di bawah Najib menjelang PRU14. Dalam pada itu, Khairy berkata mengabaikan segala persoalan yang dibangkitkan Tun Mahathir bukan pilihan terbaik kerana ia akan memberi persepsi negatif kepada umum.

Menurut Sinar Harian lagi.

"Tun Mahathir bebas untuk bercakap dan menulis. Lebih-lebih lagi sebagai bekas perdana menteri. Sudah pasti beliau ada pandangan tersendiri. Kita harus mendengar dan menghayati apa yang ditulis oleh beliau.
"Bagi saya kita tidak boleh buat tak tahu apa yang dibangkitkan Tun Mahathir.
"Saya rasa kalau kita buat-buat tidak tahu, ia akan menjadi masalah yang lebih teruk lagi. Kita kena jawab. Walaupun jawapan telah diberi, kena jawab lagi. Sama ada isu 1MDB, isu jet kerajaan, isu Sirul dan sebagainya. Kena jawab. Kita tak boleh abaikan sahaja masalah itu. Abaikan masalah itu bukan pilihan yang baik," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa Tun Mahathir mempunyai pengaruh besar terutama kepada orang muda di negara ini.

"Saya harap bahawa mereka yang ada jawapan boleh tampil ke hadapan termasuk saya sebagai menteri. Kita akan turun ke bawah untuk memberi jawapan kepada perkara-perkara yang dibangkitkan secara spesifik.
"Isu ini disebut dan dicakap dalam kalangan rakyat, jangan kita anggap ini tak penting dan abaikan sahaja.

Sebab Tun Mahathir ada pengaruh besar dalam kalangan rakyat terutama dalam kalangan orang muda. Kalau kita tak jawab, maka mereka akan dapat persepsi yang tidak betul.

"Sebab setiap isu yang dibangkitkan Tun Mahathir ada jawapan...pernah dijawab, pernah diberi jawapan mungkin kita kena ulang jawapan itu dengan lebih terperinci," kata Khairy.

Siri 6: Najib Lebih Teruk Dari Pak Lah, Siapa Gantinya?

Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletak jawatan demi menyelamatkan negara dan Umno. Beliau berkata prestasi Najib sebagai Perdana Menteri lebih teruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Sekiranya Umno mahu diselamatkan sudah tiba masanya untuk menukar kepimpinan parti itu. Siapa yang akan menggantikannya terpulang kepada Umno tetapi beliau harus letak jawatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan kepimpinan 'What Youth Should Know' di sini Sabtu.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau sudah melepasi tempoh senyapnya dan perlu lantang bersuara kerana reputasi negara di peringkat global semakin buruk semasa di bawah pemerintahan Najib.

"Saya tidak marah. Saya hanya fikirkannya demi negara kita. Saya berdiam diri sejak beberapa tahun tetapi sekarang saya sudah melepasi tempoh senyap saya.
"Negara kita terkenal sebagai salah sebuah negara yang memiliki pentadbiran yang baik. Tetapi sekarang tidak lagi. Sekarang akhbar luar negara melabelkan Malaysia sebagai sebuah negara paling korup," katanya.

Dr Mahathir turut mengkiritik Badawi semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Terdahulu, Dr Mahathir menjawab pelbagai isu kontroversi semasa sesi soal jawab diadakan. Antara isu yang dibangkitkan adalah hukum hudud, kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan hubungan antara kaum. (mStar)

Tun Mahathir menyerang PM Najib dengan peluru berpandu (kata-kata) yang lebih keras dan kuat lagi.. Berapa lama lagi PM Najib boleh tahan?