Ahad, 1 Mac 2015

JEMPUTAN KITALAWAN 7 MAC

Maka, himpunan besar akan diadakan pada 7 Mac 2015 dengan tumpuan khusus supaya Dato’ Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia dengan segera dan seterusnya membebaskan saudara Anwar Ibrahim. Gesaan kami dibuat bersandarkan fakta-fakta yang menunjukkan kegagalan beliau menjalankan tugas sebagai pemimpin utama negara seperti berikut:-
1. Memusnahkan kewibawaan Institusi Kehakiman dengan memenjarakan Saudara Anwar Ibrahim sebagai tahanan politik melalui konspirasi Fitnah 2.
2. Meletakkan kedudukan kewangan negara dalam bahaya melalui skandal 1MDB dimana hutang 1MDB yang mencecah puluhan bilion Ringgit bakal ditanggung oleh rakyat.
3. Hiprokasi beliau terhadap isu-isu hak asasi manusia yang mana akta-akta zalim dan drakonian seperti Akta Hasutan masih digunakan untuk menghukum rakyat demi melindungi kuasa dan kedudukan beliau.
4. Ketidak pedulian beliau terhadap ekonomi rakyat terutamanya dengan meneruskan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sedangkan beliau, keluarga mahupun pimpinan UMNO Barisan Nasional yang lain terus bermewah dan berbelanja dengan boros.
5. Pengurusan ekonomi negara yang lemah dan tiada kekuatan menolak dasar ekonomi yang tidak adil kepada rakyat seperti masih mengadakan rundingan perjanjian TPPA, gagal menghapuskan cukai eksais kereta yang melampau dan sebagainya.
6. Meminggirkan nasib golongan muda yang berhadapan dengan kos sara hidup tinggi, pengangguran, kualiti pendidikan yang merudum dan mahasiswa tiada kebebasan akademik.
7. Masalah rasuah, penyelewengan dan ketirisan yang terus berleluasa dimana tiada keikhlasan mahupun usaha (political will) dibawah kepimpinan beliau untuk membanterasnya sedangkan pemberi maklumat terus dihukum.
8. Tuntutan-tuntutan khusus rakyat seperti pilihanraya yang bersih dan adil, royalti minyak, anti-Lynas, dan pelbagai isu-isu lain langsung tidak didengar dan dihiraukan.
9. Menyekat kebebasan media dimana media arus perdana hanya menjadi saluran penyebaran agenda UMNO dan pemerintahan beliau masih menggunapakai amalan lapuk permit penerbitan bagi menghadkan saluran-saluran media alternatif.
10. Menggalakkan kewujudan kumpulan-kumpulan ekstrimis perkauman atau agama seperti Perkasa seolah-olah kepimpinan beliau mahu membiarkan agar berlakunya ketegangan kaum dan agama.
11. Penyalahgunaan institusi-institusi kerajaan seperti SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM yang menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap institusi tersebut.
12. Kes pembunuhan Altantuya yang masih menjadi tanda tanya dan pengakuan Sirul bahawa ada arahan atasan untuk melakukan pembunuhan tersebut perlu diperjelaskan
Sekretariat ‪#‎KitaLawan‬
Ayuh! Turun Himpunan
7 Mac 2015 | 4.00 PTG | SOGO | Tema HITAM

SEPUTAR KES DSAI

Saya sebenarnya telah berazam untuk tidak menyentuh hal-hal berkait politik untuk satu jangka masa. Dan jangka masa itu belum berakhir. Pun begitu, sabitan kesalahan terhadap DS Anwar Ibrahim dan pemenjaraannya buat saya terpanggil untuk mencoret sesuatu pada pagi ini. Lama saya pertimbangkan apakah saya patut berkongsi penulisan ini atau tidak. Namun akhirnya saya buat keputusan untuk berkongsi.
Jika ditanya apakah saya penyokong tegar beliau? Saya akan jawab, bukan. Saya tidak pernah turun pada mana-mana demonstrasi atau pergi ke mana-mana ucapan yang dianjurkan oleh beliau, parti beliau, atau parti-parti yang berpakat dengan beliau.
Saya punya harapan besar kepada Pakatan Rakyat sebelum PRU13. Tetapi selepas PRU13, harapan itu pudar, lebih-lebih lagi apabila melihat pelbagai isu dalaman di kalangan mereka sendiri.
Apakah saya bersetuju semua perkara dengan DS Anwar Ibrahim? Saya tidak bersetuju banyak perkara dan antara yang besar ialah Langkah Kajang.
Apakah saya berpendapat DS Anwar perlu berehat dari medan politik - (termasuk mereka yang seangkatan usia dengannya)? Saya berpendapat demikian.
Namun apakah saya bersyukur, gembira, suka apabila beliau dipenjarakan? Saya tidak suka. Saya tidak bersyukur dan saya tidak gembira.
Kenapa?
Pertama kerana saya tidak dapat melihat DS Anwar sebagai seorang peliwat. Saya rasa sangat tidak logik, seorang tua sepertinya, yang pernah meringkuk lama dalam penjara, bercita-cita menjadi Perdana Menteri, punya hubungan baik dengan ulama' dan cendekiawan serta ahli politik antarabangsa, saja-saja suka-suka mahu cari fasal dengan meliwat orang. Dia pasti tahu itu akan memburukkan namanya, menganggu statusnya, dan merosakkan cita-citanya.
Kedua, jika benar dia seorang peliwat, saya tak rasa dia akan liwat beberapa orang sahaja(dia dituduh Liwat 1 dan Liwat 2). Pasti akan ada banyak laporan lain berkait DS Anwar dalam hal ini. Saya sendiri ada kenal pemuda-pemuda yang baik dengan DS Anwar, dan tiada pula mereka ini lapor kena raba dan sebagainya.
Ketiga, saya tak dapat terima hujah-hujah yang dikemukakan oleh pihak Saiful Bukhari dalam hal ini. Terlalu banyak tanda tanya dan kemusykilan. Saya ikuti juga rakan-rakan yang suka nak DS Anwar disabit kesalahan. Dan melihat sebelum 10hb Februari, mereka pun pasrah jika DS Anwar bebas - bermakna mereka pun rasa hujah dari pihak Saiful Bukhari itu tidak kuat dan banyak syak. Kronologi kes ini juga dari dahulu lagi saya lihat meragukan.
Keempat, saya tahu DS Anwar adalah seorang ahli politik yang punya 'cable' kuat dengan ahli politik antarabangsa. Jika saudara Ali Abd Jalil boleh lari ke luar negara mencari suaka politik, DS Anwar pasti lebih mampu untuk lari dan mencari suaka politik menggunakan 'cable' yang beliau ada. Nyatanya beliau tidak melarikan diri. Kita lihat beliau banyak keluar negara, sama ada urusan akademik, politik atau bercuti. Namun beliau tetap pulang ke Malaysia juga. Kita lihat Saiful Bukhari angkat sumpah Al-Quran, DS Anwar juga patutnya boleh bermudah-mudah angkat sumpah Al-Quran dan boleh rilek abaikan semua ini. Namun dia tak berbuat demikian. Kenapa DS Anwar bertindak sebegini? Kerana pada pandangan saya, beliau memang yakin beliau tidak bersalah dan mahu ia dibuktikan dengan selayaknya.
Itu setakat apa yang saya mampu kemukakan. Sekurang-kurangnya, untuk diri saya, saya tidak mampu untuk percaya DS Anwar ialah seorang peliwat, dan saya tidak suka, tidak gembira, melihat beliau dipenjarakan atas tuduhan tersebut.
Ada orang kata, kalau kita tenung mata Dr Wan Azizah, kita akan nampak seakan Dr Wan Azizah 'menyimpan rahsia' berkait DS Anwar. Saya, walaupun juga banyak tidak bersetuju dengan Dr Wan Azizah sebagai ahli politik, apabila memandang wajah dan matanya, saya hanya melihat ketabahan dalam mengharungi semua ini. Ini bukan kali pertama DS Anwar dipenjarakan, dan sekali lagi Dr Wan Azizah bersama keluarga perlu mengharunginya. Kalau DS Anwar orangnya benar jahat, keluarganya takkan kekal bersamanya. Pasti akan ada pendedahan dari keluarganya. Tetapi setakat ini, tiada.
Ada yang kata, baguslah Anwar ke penjara. Berehat dari jadi faktor utama pemecah belah masyarakat. Saya tak bersetuju dengan pandangan tersebut.
Demokrasi takkan berjalan dengan baik tanpa pembangkang yang kuat, yang mampu untuk membuatkan kerajaan berkira-kira dalam setiap keputusan yang hendak dibuat. DS Anwar telah berjaya berusaha menghasilkan pembangkang yang kuat itu, dan masyarakat dapat pelbagai manfaat daripada situasi ini. Desakan-desakan daripada pembangkang menjadikan Kerajaan lebih berhati-hati dan bertimbang rasa ketika hendak melakukan sesuatu yang melibatkan rakyat.
Ini tidak bermakna kita sebagai rakyat patut jadi pentaksub kepada pembangkang. Kita perlu kritikal terhadap kedua-duanya - pembangkang dan kerajaan.
Pada hemat saya, kita boleh tidak bersetuju dengan idea, pandangan, pegangan, juga tindakan politik yang dimiliki oleh DS Anwar Ibrahim juga partinya dan Pakatan Rakyat.
Namun hendak suka, bergembira dengan hal ini, saya rasa tidak pantas walau dengan apa alasan sekalipun.
Saya suka DS Anwar Ibrahim berehat dan mengundur diri dari politik. Kebelakangan ini saya sangat kritikal terhadap beliau, terutama selepas Langkah Kajang. Pun begitu, bukan dengan disabit sebagai peliwat dan dipenjarakan.
Saya tidak berniat untuk mengajak orang lain berpendirian seperti saya. Namun saya tertarik berkongsi pendirian saya seputar kes DS Anwar Ibrahim ini di sini, sebagai tambahan kepada perspektif-perspektif yang ada. Mungkin pendapat dan pendirian saya ini salah, terbuka kepada perbincangan.
Kerana saya kira, saya ada tanggungjawab untuk menyuarakannya. Bukan sebagai penyokong kerana saya bukan penyokong tegar beliau dan partinya.
Tetapi sebagai manusia.
Sekian
- HILAL ASYRAF -