Rabu, 3 Julai 2013

Hanya satu dari lima laporan rasuah disiasat SPRM

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM hanya membuka satu kertas siasatan dari setiap lima kes yang dilapor, dedah Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli. Beliau membandingkan statistik tahun 2011 antara SPRM dengan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC). Menurut Rafizi, sebanyak 6,475 maklumat berhubung rasuah diterima SPRM pada 2011, namun hanya 1,304 atau bersamaan 20% kertas siasatan yang dibuka. Berbanding ICAC yang menerima 4,010 laporan, namun membuka 3,072 kertas siasatan bersamaan 77% dari keseluruhan maklumat rasuah di Hong Kong pada tahun yang sama. “Ini mengukuhkan lagi persepsi rakyat yang meragui keberkesanan SPRM. Menteri yang bertanggungjawab harus mengambil cabaran ini dengan serius,” kata Rafizi di Dewan Rakyat. Tambah Rafizi, sabitan kesalahan kes dikendalikan ICAC lebih tinggi mencecah 86% berbanding kesalahan kes yang dibawa oleh SPRM, iaitu sekadar 68%. Tegasnya, SPRM perlu membuktikan keberkesanan melalui pendakwaan terutamanya melibatkan laporan terhadap tokoh besar, seperti Ketua Menteri Sarawak, Tan Seri Abdul Taib Mahmud. Penolong Pesuruhjaya Bahagian Siasatan SPRM, Lim Bee Kean pada 29 Jun mendedahkan, badan itu perlu meneliti 400 fail dan kenyataan lebih 20 individu melibatkan kes rasuah Taib Mahmud. “Mengatasi persepsi terhadap SPRM bukan semata-mata melalui iklan atau kempen jenama mahal yang menelan wang rakyat,” tegasnya.

Tiada ulasan: