Isnin, 13 April 2015

Siri 11: Najib Perlu Jawab Dr M -BNBBC' Pun Tekan PM Letak Jawatan?

PENGERUSI Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad, pun seolah-olah mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib letak jawatan juga ke..?

Ini berikutan dengan kenyataan beliau bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak wajar menjawab segala kritikan yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbirannya dengan kadar segera.

Pengerusi BNBBC Tan Sri Shahrir Samad berkata walaupun kurang bersetuju dengan kritikan terbuka Dr Mahathir itu, namun kelab itu berpandangan sudah sampai masa untuk Najib memberikan jawapan.

"Kami ada berbincang (dengan Najib), mana yang boleh kami jawab seperti isu jet, 1MDB dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), tetapi kami juga nasihat tentunya sampai masanya Najib kena berikan jawapannya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam..

Kata Shahrir, ini kerana kritikan Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat itu bukan hanya berkisar kepada soal pentadbiran malah turut bersifat peribadi.

Baru-baru ini, Dr Mahathir melalui laman blog chedet.cc telah mengkritik Najib secara terbuka serta keras apabila menyatakan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya Najib masih menerajui UMNO dan pentadbiran kerajaan Malaysia.

"Isu ini kadang-kadang kita tidak boleh buat tidak tahu dan saya percaya Najib akan beri jawapan kepada tuduhan ini," kata anggota Parlimen Johor Bahru itu.

Walaupun Shahrir menegaskan BNBBC akan terus berdiri teguh dan menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Najib.. "Sebagai anggota Parlimen, kami bukan golongan 'buta-buta' menyokong, kami berdiri bersama dengan perdana menteri."

Katanya seperti dilaporkan oleh Astro Awani.(ibnuhasyim)

Siri 10: Rosmah Dikaitkan Dengan Penolakan Najib Sebagai PM?

TOKOH wartawan terkenal Datuk A Kadir Jasin semalam menggariskan perbezaan antara bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan penyandang sekarang Datuk Seri Najib Razak, berkaitan kedudukan mereka di tampuk kuasa, sebagai perdana menteri.

Kadir, yang rapat dengan seorang lagi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata berbanding Abdullah atau Pak Lah, Najib lebih sukar ditangani.

“Pak Lah tidak ada isteri yang bercita-cita besar,” tambahnya yang dilihat ditujukan kepada isteri Najib, Rosmah Mansor, yang sering berdepan tanggapan negatif orang ramai.

Kadir juga berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi pilihan semula jadi untuk menggantikan Najib jika beliau berundur.

“Isterinya disenangi dan hal anak-anaknya jarang dilihat atau didengar.
“Satu-satunya yang orang ramai tahu ialah Najwa Mahiaddin kerana dia seorang penyanyi dan penggubah lagu.
“Kelebihan lain apabila beliau datang daripada keluarga kuat agama daripada Muar,” katanya dalam tulisan di blog.


Siri 9: Apabila Rafidah Aziz Pula Serang Najib...

APABILA wanita yang digelar Wanita Besi Malaysia dalam politik berkata beliau keliru tentang sesuatu, Ha, dengar betul-betul..

Lebih-lebih lagi apabila beliau terkenal dengan 'kebijaksanaan'. Jadi jika bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz, keliru tentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), apatah lagi golongan awam?

Rafidah, dengan gaya tanpa ada kekangan beliau, bercakap tentang GST apabila beliau dilaporkan berkata kebergantungan kerajaan dengan penggunaan kartun, papan iklan dan jargon teknikal seperti “berkadar sifar” untuk menjelaskan tentang cukai kepenggunaan menyeluruh beberapa tahun ini telah membuatkan pengguna Malaysia, termasuk dirinya, lebih keliru dengan sistem percukaian.

Beiau berkata kerajaan seharusnya tidak menggunakan jargon dalam menjelaskan apa itu GST kepada pengguna.

Rafidah berkata kerajaan seharusnya menerbitkan senarai barang yang dikecualikan dari cukai di setiap surat khabar dalam negara dengeran kadar segera kerana ianya akan membantu pengguna bersiap sedia untuk cukai kepenggunaan menyeluruh ini.

“Saya secara peribadi berasa bahawa sekarang ini, kita seharusnya sudah mempunyai senarai lengkap tentang kategori yang dikecualikan supaya rakyat akan tahu (barang) mana yang tiada cukai.
“Ia seharusnya tersedia dalam semua surat khabar, dalam semua bahasa, dan tidak seharusnya teknikal.
“Masalah kita adalah penjelasan setakat ini tidak begitu jelas. Kerajaan telah menggunakan sumber yang berbeza ataupun pendekatan yang berbeza, dan kebanyakan darinya bersifat sangat teknikal.
“Contohnya, siapa yang faham apa itu ‘berkadar sifar’?

Kenapa mereka tidak guna frasa ‘tak kena GST’. Dengan itu ianya lebih mudah dan senang untuk diingat,” Rafidah dipetik sebagai berkata. Ini, kata beliau, turut akan membantu pengguna mengenalpasti peniaga yang menaikkan harga barang yang tidak dikenakan GST.

Rafidah menekankan bahawa sisipan surat khabar akan lebih menjimatkan kos kerajaan berbanding menaikkan papan ikan besar seluruh negara.

“Beberapa masa lalu, terdapat sebuah papan iklan berdekatan rumah saya yang berkata pendidikan akan dikecualikan daripada GST. Malahan ada lukisan kartun padanya. Saya berfikir, apa yang dimaksudkan? Adakah yuran universiti atau yuran tuisyen dikecualikan daripada GST? Bagaimana dengan buku atau komputer atau alatan yang berkaitan dengan sekolah?

“Daripada berbelanja duit untuk papan iklan sebegini, pada waktu ini anda mungkin sudah mempunyai satu penerbitan lengkap tentang barang yang tidak dicukaikan,” Rafidah dilaporkan berkata.

Soal kerajaan menyahut saranan Rafidah, itu soal lain. Yang penting kini, Rafidah mula menyerang kepimpinan Najib.  Rafidah seolah-olah 'bersatu' dengan Tun Mahathir dalam menyerang Najib?

Tidak. Mungkin mereka tidak 'bersatu', kerana sekarang mereka sudah 'berdua'. Lebih kuat lagi, percepatkan Najib letak jawatan? (ibnuhasyim)

Siri 8: Ini Senjata, Paksa Najib Turun Dari PM?

DIRAMALKAN, inilah senjata atau kunci rahsia yang boleh memaksa Najib turun dari jawatan Perdana Menteri Malaysia.. Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad meneruskan lagi serangannya kepada Najib Razak dengan mendedahkan bahawa Sirul Azhar Umar, anggota polis yang didapati bersalah membunuh Altantuya tetapi kini melarikan diri ke Autralia, pernah menjadi pengawal peribadinya suatu ketika dahulu.

Kata Tun Mahathir, sewaktu bekerja dengannya, Sirul tidak pernah pula membunuh sesiapa. Sebagai makluman,  ketika didakwa melakukan pembunuhan Altantuya, Sirul adalah salah seorang pengawal peribadi ditugaskan menjaga Najib Razak yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri. Tiada sesiapa tahu atau sedar bahawa Sirul pernah menjadi pengawal peribadi Tun Mahathir sebelum ini.

Ia tidak pernah disebut di mana-mana atau didedahkan oleh sesiapa, termasuk ketika perbicaraan di mahkamah. Dengan pendedahan Tun Mahathir ini bukan saja  menunjukkan beliau tidak menunjukkan tanda-tanda akan berganjak sedikit pun daripada apa yang telah dimulakannya. Bahkan akan meneruskan dengan maklumat-maklumat baru lebih menarik lagi, yang mungkin itu menjadi kunci azimat  rahsia peluru kekuatan tembakannya.

Ramai yang mula meneka-neka ketika ini mengenai hubungan Tun Mahathir dengan Sirul, termasuk tindakannya melarikan diri ke Australia yang dilihat semata-mata untuk mengelakkan hukuman mati keatasnya. Tidak disangkal juga bahawa apabila Tun Mahathir mengatakan Sirul tidak pernah membunuh sesiapa ketika bertugas dengannya, ia adalah isyarat paling jelas bahawa anggota polis itu melakukannya semata-mata kerana menurut arahan.

Siapa yang memberi arahan itulah yang perlu disiasat? Jika Sirul menerima arahan daripada ketuanya, siapa pula yang memberi arahan kepada ketuanya itu? Tidak syak lagi pendedahan Tun Mahathir bahawa Sirul pernah bekerja dengannya adalah sesuatu yang dikatakan tambah memeningkan lagi kepala Najib ketika ini.

Tambahan lagi dengan ayat maut yang dilontarkannya, "Dia tak bunuh sesiapa pun ketika bertugas dengan saya".

Persoalannya kini ialah apakah Tun Mahathir mempunyai lebih banyak maklumat mengenai Sirul?  Apakah selepas ini maklumat itu akan didedahkan satu persatu untuk menekan Najib? Selain isu 1MDB yang digembar-gemburkan, apakah isu Sirul ini sebenarnya yang lebih dulu membuatkan Najib makin terhenyak kebingungan, ditembak oleh peluru kental Tun Mahathir itu.

Lalu akhirnya Najib meletak jawatan? (ibnuhasyim)

Siri 7: PM Letak Jawatan: Khairy Berpihak Kepada Tun M?

APAKAH Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sudah berpihak kepada Tun Mahathir Mohammad apabila beliau bersetuju  bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menjawab isu-isu yang dibangkitkan bekas PM itu bagi meredakan suasana?
  
Ketua Pemuda Umno itu berkata, meskipun beberapa isu yang disentuh Tun Mahathir itu sudah dijawab sebelum ini, namun ia perlu dijawab lagi.

"(Tun Mahathir mahu jawapan dari Najib) Saya rasa itu yang Tun Mahathir mahu. Kita boleh buat penjelasan tapi paling berkesan kalau Najib sendiri yang memberi penjelasan tersebut.
"Kalau ditanya (lagi) oleh Tun Mahathir bermaksud jawapan sebelum ini tidak cukup atau tidak jelas. Jadi, kita kena jelaskan lagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama di program menolak ekstremisme, di sini, hari ini. Lapor Sinar Harian.

Terbaru, Tun Mahathir dilihat kembali ‘menyerang’ Najib melalui tulisannya di blog chedet.cc, menyentuh mengenai kes Altantuya, 1MDB dan ‘Nasib BN’ di bawah Najib menjelang PRU14. Dalam pada itu, Khairy berkata mengabaikan segala persoalan yang dibangkitkan Tun Mahathir bukan pilihan terbaik kerana ia akan memberi persepsi negatif kepada umum.

Menurut Sinar Harian lagi.

"Tun Mahathir bebas untuk bercakap dan menulis. Lebih-lebih lagi sebagai bekas perdana menteri. Sudah pasti beliau ada pandangan tersendiri. Kita harus mendengar dan menghayati apa yang ditulis oleh beliau.
"Bagi saya kita tidak boleh buat tak tahu apa yang dibangkitkan Tun Mahathir.
"Saya rasa kalau kita buat-buat tidak tahu, ia akan menjadi masalah yang lebih teruk lagi. Kita kena jawab. Walaupun jawapan telah diberi, kena jawab lagi. Sama ada isu 1MDB, isu jet kerajaan, isu Sirul dan sebagainya. Kena jawab. Kita tak boleh abaikan sahaja masalah itu. Abaikan masalah itu bukan pilihan yang baik," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa Tun Mahathir mempunyai pengaruh besar terutama kepada orang muda di negara ini.

"Saya harap bahawa mereka yang ada jawapan boleh tampil ke hadapan termasuk saya sebagai menteri. Kita akan turun ke bawah untuk memberi jawapan kepada perkara-perkara yang dibangkitkan secara spesifik.
"Isu ini disebut dan dicakap dalam kalangan rakyat, jangan kita anggap ini tak penting dan abaikan sahaja.

Sebab Tun Mahathir ada pengaruh besar dalam kalangan rakyat terutama dalam kalangan orang muda. Kalau kita tak jawab, maka mereka akan dapat persepsi yang tidak betul.

"Sebab setiap isu yang dibangkitkan Tun Mahathir ada jawapan...pernah dijawab, pernah diberi jawapan mungkin kita kena ulang jawapan itu dengan lebih terperinci," kata Khairy.

Siri 6: Najib Lebih Teruk Dari Pak Lah, Siapa Gantinya?

Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletak jawatan demi menyelamatkan negara dan Umno. Beliau berkata prestasi Najib sebagai Perdana Menteri lebih teruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Sekiranya Umno mahu diselamatkan sudah tiba masanya untuk menukar kepimpinan parti itu. Siapa yang akan menggantikannya terpulang kepada Umno tetapi beliau harus letak jawatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan kepimpinan 'What Youth Should Know' di sini Sabtu.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau sudah melepasi tempoh senyapnya dan perlu lantang bersuara kerana reputasi negara di peringkat global semakin buruk semasa di bawah pemerintahan Najib.

"Saya tidak marah. Saya hanya fikirkannya demi negara kita. Saya berdiam diri sejak beberapa tahun tetapi sekarang saya sudah melepasi tempoh senyap saya.
"Negara kita terkenal sebagai salah sebuah negara yang memiliki pentadbiran yang baik. Tetapi sekarang tidak lagi. Sekarang akhbar luar negara melabelkan Malaysia sebagai sebuah negara paling korup," katanya.

Dr Mahathir turut mengkiritik Badawi semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Terdahulu, Dr Mahathir menjawab pelbagai isu kontroversi semasa sesi soal jawab diadakan. Antara isu yang dibangkitkan adalah hukum hudud, kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan hubungan antara kaum. (mStar)

Tun Mahathir menyerang PM Najib dengan peluru berpandu (kata-kata) yang lebih keras dan kuat lagi.. Berapa lama lagi PM Najib boleh tahan?

Siri 5: Jasa, Benteng Pertahan Najib Akan Serang Balas Peluru Dr M

Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), akan mengambil langkah menangkis tuduhan baharu yang dibuat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Tidak senang dengan tindakan Dr Mahathir semalam yang membangkitkan kembali kes yang sudah selesai di mahkamah itu, Pengarah Jasa Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mempersoalkan niat bekas pemimpin utama negara tersebut.

"Kenapa beliau (Dr Mahathir) hendak membangkitkan isu Sirul (Koperal Sirul Azhar Umar) yang sudah diputuskan mahkamah?
"Bagi saya, ini tidak wajar, seolah-olah beliau ingin mengatakan beliau mempunyai bukti baharu. Tetapi pada saya, beliau hanya ingin mengaitkannya dengan perdana menteri," beliau dipetik berkata dalam laman berita Astro Awani hari ini.

Menyedari kesan yang bakal terpalit kepada Datuk Seri Najib Razak, Puad berkata Jasa akan mengambil tugas dan tanggungjawab menangkis persepsi negatif yang timbul daripada kritikan Dr Mahathir.

Katanya, badan propaganda Putrajaya itu tidak akan mengambil langkah bertahan lagi tetapi sebaliknya akan lebih “menyerang” dalam menangkis tuduhan dibuat ke atas Najib itu.

"Kita tahu kenyataan Dr Mahathir dalam blog beliau yang terbaharu ini sudah menjadi viral dan kita anggap ia (pandangan) terlalu negatif. Jadi, Jasa akan berdepan dengan perkara seperti ini dan bukan bersikap defensif, tetapi 'serang' (menerusi media sosial)," katanya.

Dr Mahathir dalam blognya yang popular chedet.cc sekali lagi meneruskan serangan ke atas Najib, membangkitkan peranan Sirul yang juga pegawai khas Najib dalam pembunuhan model itu.

"Ini adalah nyawa manusia. Amatlah zalim jika Sirul dibunuh (dijatuhkan hukuman bunuh) kerana menjalankan arahan," tulis Dr Mahathir.

Kritikan tersebut dilihat serius sehingga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan Umno mengadakan perbincangan tertutup bersama Dr Mahathir bagi membincangkan perkara itu.

Penulis blog Umno juga berdiam diri dalam isu dibangkitkan pemimpin negara yang berpengaruh tersebut. Kritikan semalam dilihat sebagai paling keras perdana menteri paling lama berkhidmat itu yang membayangkan Umno dan Barisan Nasional bakal hilang kuasa jika masih di bawah pentadbiran Najib dalam pilihan raya umum akan datang.

Demikian dari sumber The Malaysin Insider.

Ertinya, pertempuran mulai berlaku, Najib mula agrasif pertahankan kedudukannya. Jangan sampai tumbang, terpaksa letak jawatan PM..(ibnuhasyim)

Siri 4: Gempar! Bongkar PM Letak Jawatan. 'Pembunuh Ke 2 Al-tantuya Mohon...

Ketua Inspektor Azilah Hadri, salah seorang daripada 2 bekas komando polis yang dihukum mati kerana membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, akan memohon semakan semula terhadap keputusan bersalah Mahkamah Persekutuan.

Peguam Azilah, Datuk Hazman Ahmad berkata permohonan itu sedang dimuktamadkan dan akan difailkan tidak lama lagi, tetapi tiada tarikh akhir ditetapkan.

"Ada beberapa alasan yang sah untuk mengkaji semula keputusan yang dibuat panel 5 hakim itu," katanya kepada The Malaysian Insider apabila ditanya jika Azilah memohon kepada Lembaga Pengampunan untuk menukar hukuman mati kepada hukuman penjara seumur hidup.

Beliau tidak mengulas lanjut alasan permohonan semakan Azilah. Bekas anggota polis itu kini sedang menunggu hukuman mati. Hazman berkata permohonan semakan perlu dilupuskan sebelum sebarang representasi dibuat kepada Lembaga Pengampunan.

Permohonan semakan dibuat di bawah Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan berdasarkan alasan ketidakadilan prosedur, dengan pemohon meminta penghakiman bersalah itu diketepikan dan panel hakim baru ditubuhkan bagi mendengar semula rayuan.

Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari, 2015 mengekalkan semula sabitan ke atas Azilah dan Sirul Azhar Umar kerana membunuh wanita berusia 28 tahun itu, pada tahun 2006. Bagaimanapun, Sirul tidak hadir ketika keputusan itu disampaikan dan laporan berita berikutnya mengesahkan beliau berlepas ke Australia pada Oktober lalu.

Bekas anggota Unit Tindakan Khas berusia 43 tahun itu ditangkap di Brisbane dan ditahan di pusat tahanan imigresen di sana. Bagaimanapun, beliau kemudiannya dilaporkan dilepaskan pihak berkuasa imigresen Australia tetapi pasportnya ditahan.

Sirul juga mengugut untuk mendedahkan semuanya tentang kes pembunuhan berprofil tinggi itu kepada media Australia, dengan mendakwa yang beliau menerima arahan untuk membunuh Altantuya. Menurut laporan media, Sirul tidak akan dihantar pulang ke Malaysia kerana Canberra melarang penghantaran pulang suspek yang menghadapi hukuman mati.

Awal minggu ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, proses ekstradisi Sirul ditangguhkan kerana ia melibatkan "isu undang-undang yang rumit". Peguam Sirul, Kamarul Hisham Kamaruddin juga mendedahkan Pejabat Peguam Negara masih belum memulakan permintaan ekstradisi dengan Canberra, walaupun anak guamnya ditangkap pada 22 Januari.

Katanya, jika permintaan ekstradisi difailkan, permohonan perlu dibuat untuk Sirul hadir di hadapan seorang majistret di Australia. Keterangan dalam mahkamah mendedahkan, Altantuya dibunuh sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C4 pada 18 Oktober 2006, di pinggir Shah Alam, dekat Kuala Lumpur.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, seorang yang rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul tetapi dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 2008 tanpa dipanggil membela diri.

Kerajaan tidak merayu pembebasannya. Walaupun terdapat sabitan, motif untuk membunuh Altantuya tidak pernah didedahkan. 3 April 2915Malaysian Insider.

Siri 3: 6 Tahun Najib PM. Letak Jawatan. Kes Altantuya Belit Leher.

Hari ini 6 tahun Najib jadi PM. Semalam, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kenyataan Sirul Azhar Umar bahawa dia hanya menjalankan arahan ketika membunuh Altantuya Shaaariibuu harus disiasat.

Mahathir berkata, perkara itu melibatkan nyawa manusia dan “amatlah zalim” jika Sirul dibiar menjalani hukuman mati hanya kerana menjalankan arahan.

“Rakyat tertanya-tanya siapa yang memberi arahan.
"Sebagai pengawal peribadi Datuk Sri Najib (Razak), dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan siapa yang memberi arahan.
“Tetapi selain daripada Najib berkata Sirul 'merepek', tidak ada siasatan yang dibuat,” katanya.

Menulis di blognya, Mahahthir juga membangkitkan sebuah “skandal” kapal selam dengan pembunuhan Altantuya. Sirul sebelum ini berkata beliau hanya menjalankan tugas dan menjadi kambing hitam dalam kes itu. Daripada tahanan imigresen di Australia, bekas anggota polis elit itu berkata sedang mempertimbang untuk mendedahkan segala-galanya kepada media tentang perkara itu.

Najib menyifatkan dakwaan Sirul bahawa dia bertindak atas arahan sebagai"rubbish" (mengarut atau merepek). Sirul dan seorang lagi rakan dalam pihak berkuasa itu Azilah Hadzri disabitkan bersalah membunuh Altantuya dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Motif kepada pembunuhan itu bagaimanapun masih misteri.

Hari ini 6 tahun Najib jadi PM. Sirul bagaimanapun tidak hadir dalam prosiding akhir di Mahkamah Persekutuan keran berada di Australia. Dia ditangkap tidak lama kemudian. Undang-undang negara kanggaru itu tidak membenarkan pihak berdepan hukuman bunuh dihantar pulang ke negara hukuman akan dilaksanakan.
 

Penganalisis politik Razak Bagindayang dikatakan pernah menjadi rakan rapat Najib, pernah didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu. Beliau kemudian dibebas tanpa dipanggil membela diri kerana keterangan dikemukakan tidak cukup bagi membuktikan kes prima facie terhadapnya. 

Ahli Parlimen veteran pembangkang, Lim Kit Siang menyarankan satu misi pencarian fakta untuk menyiasat Sirul Azhar Umar berhubung motif pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Dan dua calon terbaik untuk tugas itu, menurut Lim, ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"(Misi pencarian fakta ini perlu) melaporkan kepada Parlimen mengenai hasil penemuan mereka, termasuk apa yang patut dilakukan terhadap Sirul dan Azilah (Hadri), kedua-duanya berdepan dengan hukuman mati, walaupun Sirul telah melarikan diri ke Australia," kata Lim dalam satu kenyataan.
 
Walaupun Mahathir dilihat semakin lantang terhadap pentadbiran Najib, terutamanya  dalam isu 1Malaysia Developement Bhd (1MDB), namun beliau tidak pernah secara terbuka membangkitkan kes Altantuya. Kini seolah-olah memperlihatkan bahawa Mahathir bersedia pergi lebih jauh dengan mempergiatkan lagi tekanan terhadap pentadbiran Najib yang sedia terhimpit dengan pelbagai isu. 

Hari ini, genap enam tahun Najib bertugas sebagai perdana menteri. Adakah nasib Najib akan sama seperti Pak Lah PM sebelumnya, terpaksa melepaskan jawatan kerana mula diserang bertubi-tubi seperti ini? Bolehkah beliau melepaskan kes Altantuya yang membelit lehernya? Kita lihat lagi serangan terhadap beliau seterusnya..(ibnuhasyim)

Siri 2: PM Najib Perlu Letak Jawatan -Dr Mahthir

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melontarkan kritikan paling keras beliau terhadap Datuk Seri Najib Razak, mengatakan rakyat Malaysia tidak mempercayai perdana menteri itu dan meramalkan kejatuhan kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang (PRU14) sekiranya presiden Umno itu terus berkuasa.

Perdana menteri paling lama berkhidmat itu tahun lalu menarik balik sokongannya kepada Najib kerana dasar mereka yang berbeza, menyatakan Najib harus meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

"Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Najib. Ahli Umno dan pemimpinnya perlu sedar Umno, dan dengan itu BN, akan kalah jika Najib memimpin Umno hingga PRU14.
"Apabila Umno kalah, orang Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti keramat ini begitu lemah sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri. Sekali Umno kalah, ia tidak akan dapat dipulih semula," tulis Dr Mahathir dalam blognya yang popular chedet.cc hari ini.

Dalam tulisannya yang panjang itu, bekas perdana menteri itu menyenaraikan pelbagai tuduhan yang dibuat terhadap Najib selama ini, dan mengatakan tiada satu pun antaranya yang dijawab dengan sempurna.

Dr Mahathir berkata ia termasuk pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dan dakwaan yang dibuat salah seorang yang disabitkan membunuh, bekas komando Sirul Azhar Umar, yang merupakan bekas pengawal peribadi Najib.

Mengulas dakwaan Sirul yang beliau menerima arahan untuk membunuh Altantuya, Dr Mahathir berkata tuduhan seperti itu harus disiasat kerana Sirul pernah bekerja dengan Najib.

"Ini adalah nyawa manusia. Amatlah zalim jika Sirul dibunuh (dijatuhkan hukuman bunuh) kerana menjalankan arahan," tulisnya.

Dr Mahathir juga membangkitkan masalah dihadapi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), menyoal apa perlunya Putrajaya memberikan persediaan kemudahan kredit hampir RM1 bilion kepada syarikat milik Kementerian Kewangan itu, tindakan syarikat itu membeli tanah kerajaan dan perjanjian diragui yang dimeterainya dengan syarikat yang tidak dikenali ramai, PetroSaudi International.

Beliau juga bertanya sumber kewangan anak tiri Najib, Riza Aziz, yang membeli hartanah mewah di New York melalui ahli perniagaan Low Taek Jho.

Beliau juga tidak ketinggalan menyentuh mengenai jet peribadi yang dibeli untuk Najib, menyifatkan ia satu pembaziran kerana kerajaan sudah mempunyai pesawat lain yang boleh digunakan.

"Banyaklah lagi tuduhan dan soalan terhadap 1MDB yang ditubuhkan Najib dan dikuasai sepenuh olehnya sebagai penasihat, yang tidak dijelaskan atau dijawab selain daripada menafi dan mendakwa semuanya bohong belaka.
"Laporan-laporan dalam akhbar di New York dan London amat memalukan negara," kata Dr Mahathir merujuk laporan media asing mengenai 1MDB dan Low.

Bekas perdana menteri itu juga berkata, tidak mudah baginya menulis semua yang dicatatkannya itu.

"Ramai juga ahli dan pemimpin Umno yang setia secara buta tuli kepada pemimpin. Saya juga setia tetapi kesetiaan saya ialah kepada parti dan orang Melayu yang diwakili olehnya.
"Bukanlah mudah bagi saya menulis blog ini. Tetapi demi bangsa dan negara saya terpaksa dedah semua ini.
"Saya belum nyanyuk walaupun umur hampir 90 tahun. Sesiapa yang berkata saya nyanyuk sebenarnya menipu diri.
"Melayu hanya akan selamat jika bersikap bangsa lebih utama daripada diri sendiri."
Malaysian Insider