Rabu, 19 November 2008

Obama The Legend


Kejayaan besar warga Amerika berkulit hitam sebagai Presiden Amerika yang ke 44 telah mencipta sejarah bagi negara kuasa dunia abad ini. Walau pun kemenangannya memang telah diduga oleh ramai penganalisis politik seluruh dunia dengan berpandukan senario politik negara tersebut, namun bagi sesetangah warga Amerika sendiri ia adalah sesuatu yang sukar diterima dengan dada terbuka

Peristiwa tersebut mencipta satu lagi sejarah dunia apabila kemenangan Barrack Hussein Obama II bukan sahaja disambut oleh mejoriti penduduk Amerika, malahan turut dirayakan oleh seluruh warga dunia, termasuk di Afrika, Eropah dan Asia, seolah-olah Obama adalah utusan langit yang turun untuk menyelamatkan penduduk bumi dari petaka besar. Inilah suatu peristiwa luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah Amerika. Sekaligus kemenangan tersebut memberi isyarat kepada Amerika sendiri dan sekutunya bahawa dasar luar Amerika sebelum ini yang didokong oleh Bush memang tidak disenangi dan ditolak oleh dunia, walau pun Bush dan lain-lain pemimpin Amerika bertegas mempertahankannya. Isyarat kedua menunjukkan bahawa rakyat Amerika sekarang lebih bersikap liberal dan sanggup mengenepikan sentimen perkauman yang sempit dalam menghayati wadah demokrasi di negara mereka.

Amerika yang sebelum ini dihormati sebagai negara kuasa besar yang bermertabat telah merosak status tersebut setelah tamat perang dingin dengan kuasa komunis yang didominasi oleh Rusia. Lantaran angkuh dengan kekuasaan yang ada, tiba-tiba Amerika menukar wataknya menjadi pengganas besar yang sedia merobek dan menyiat negara kecil yang enggan mengikut telunjuknya. Kebetulan mangsanya kini ialah negara umat Islam yang jauh lebih lemah dalam berbagai aspek. Namun, Amerika yang pada hakikatnya telah dipengaruhi oleh tangan ghaib bernama zionist sanggup menggadai maruahnya dengan melakukan pencerobohan yang dikutuk oleh masyarakat dunia. Hari ini seorang dari keturunan Afrika-Amerika telah berjaya menguasai Rumah Putih.

Sejak ratusan tahun dulu warga Afrika dipunggah ke Amerika secara paksa dan dijual untuk menjalankan kerja-kerja berat bukan sebagai boroh upahan, tetapi sebagai abdi. Waktu itu, mereka hidup dalam kehinaan sebagai hamba abdi di negara kulit putih dengan diperlakukan seolah-olah mereka dicipta untuk mempertuankan masyarakat kulit putih sebagaimana yang pernah dikisahkan menerusi filem Kunta Kinte.

Menurut sejarah, Kunta kinte (1750 – 1810) adalah seorang pemuda Muslim Afrika dari kaum Mandinka berasal dari Gambia (Afrika Barat). Beliau diculik oleh sendiket dagangan abdi ketika mencari kayu untuk membuat drum (rebana) dan dibawa ke Annapolis, Maryland untuk dijual sebagai abdi. Selepas itu beliau dijual pula kepada pemilik ladang di Spotsylvania County, Virginia. Kini memorial Kunta Kinte terdapat di Annapolis bagi mengenang peristiwa perhambaan ke atas orang Afrika berkulit hitam. Siapa sangka selepas tiga abad sejarah pengambdian, Amerika yang begitu gah dengan kuasanya kini bertuankan seorang darah campuran Afrika-Amerika di mana ibunya Ann Dunham berkelulusan Phd adalah warga kulit puteh berasal dari Wichita, Kansas, manakala bapanya Obama Sr. (1895 – 1995) adalah seorang ahli ekonomi warga Kenya.

Miski pun bapanya dilahir dan membesar dalam keluarga Muslim, namun beliau kemudiannya dikatakan bertukar menganut fahaman ethiest semasa berada di Amerika beberapa ketika kerana melanjut pelajaran. Ketika itulah beliau bertemu jodoh dengan Stanley Ann Dunham (18) yang sama-sama menuntut di Universiti Hawaii. Ini bermakna, Presiden Amerika ke – 44, walau pun beragama Kristian, namun mempunyai pertalian darah yang rapat dengan keluarga Islam di Kenya menerusi Datuknya Hussein Onyango Obama dan neneknya Akumu Habiba. Dan siapa sangka pada abad 21 ini, seorang Presiden Amerika boleh bertutur dalam bahasa Melayu/ Indonesia, walau pun mungkin penguasaannya tidak banyak kerana meninggal negara bapa tirinya Indonesia ketika berusia 10 tahun untuk meneruskan pengajian di Hawaii.

Apa yang penting, masyarakat dunia menanti dengan penuh harapan akan kehadiran Obama ke Rumah Putih. Pertanyaan yang sering bermain di kepala mereka ialah mampukah Obama mengotakan janjinya untuk membawa perubahan? Atau cuma gimik politik untuk meraih sokongan bagi merebut jawatan terbesar dan terhebat di dunia sekarang sebagaimana pendekatan yang diambil oleh calon-calon presiden sebelum ini? Apa yang pasti, Amerika tetap meneruskan dasar kapiltalismanya yang selama ini dianggap teras kepada kejayaan melonjakkan dirinya di pentas antarabangsa.

Rakyat Amerika tidak mahu negaranya berganjak dari ranking pertama yang dicapai selama ini dan berpegang kepada amanat Presiden pertamanya, Abraham Lincoln: "America will never be destroyed from the outside. If we falter and lose our freedoms, it will be because we destroyed ourselves". Walau apa pun, pentadbiran Amerika perlu meningkatkan tahap kawalan keselamatan ke atas bakal penghuni White House itu lebih dari tahap yang diberikan sebelum ini. Kita tidak mahu, peristiwa trajis yang pernah terjadi ke atas Presiden John F. Kennedy pada 22 November, 1963 dan seorang aktivis politik kulit hitam terkenal, Dr. Martin Lurther King Jr. pada 4 April, 1968 berulang lagi di abad ini. Segalanya tidak mustahil kerana musuh berada di mana-mana dan sentiasa mengintai peluang dan waktu untuk melaksana cita-cita jahat mereka.

Tiada ulasan: