Sabtu, 12 September 2009

PRK N31 Bagan Pinang - Isa Samad Di Pilih Sebulat Suara..


PORT DICKSON: Umno Bahagian Teluk Kemang yang bermesyuarat semalam sebulat suara menamakan Tan Sri Mohd Isa Samad sebagai calon bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Ketua Pemuda bahagian itu, Mohd Faizal Ramli, berkata pencalonan Mohd Isa yang juga Ketua Umno bahagian itu mendapat sokongan sebulat suara 33 ahli jawatankuasa (AJK) bahagian yang menghadiri mesyuarat, petang semalam.

"Kita tidak memperincikan calon lain, sebaliknya AJK yang hadir menyatakan sokongan sebulat suara kepada beliau (Mohd Isa) kerana yakin pengalaman dan ketokohannya mampu membantu BN mempertahankan kerusi itu," katanya.
Mohd Faizal yang juga Timbalan Pengarah pilihan raya kecil BN bagi DUN berkenaan berkata, tindakan bahagian itu bukannya menentang arahan Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta beberapa nama disenaraikan.

"Kita bukan tidak mengikuti arahan beliau (Muhyiddin) tetapi Umno bahagian berpendapat Tan Sri Mohd Isa adalah calon terbaik. Kita berharap pucuk pimpinan menghormati dan mendengar keputusan akar umbi," katanya.-Bharian

Tiada ulasan: