Khamis, 25 Mac 2010

PENDUDUK LEGA,ADUN BERANG........


HUTAN MELINTANG - Penantian selama lebih 10 tahun penduduk Kampung Sungai Timah, di sini untuk mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) berakhir setelah Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak bersetuju mengeluarkan lesen berkenaan.

Seorang penduduk, V Ramasamy berkata, mereka sudah lama menanti saat itu kerana telah lama membuat permohonan.

Menurutnya, pada awal pembukaan penempatan itu, sebanyak empat rumah dibina dan kini rumah di perkampungan itu bertambah sehingga 39 buah.

“Saya dan semua penduduk begitu gembira kerana akhirnya kami dibenarkan tinggal di sini oleh Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak.

“Selepas ini, kami berharap LPS ini dapat ditukarkan kepada geran tetap yang akan menjadi hak milik penduduk yang sudah lama tinggal di sini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas majlis penerangan mengenai Pemberian LPS Tapak Rumah Bagi Setinggan di Atas Tanah Kerajaan di Kampung Sungai Timah, di sini, kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah, Shahril Ismail; Penolong Pegawai Daerah, Megat Mohd Zamri Megat Mohd dan beberapa Pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak serta Ketua MIC Bahagian Bagan Datoh, R Supramaniam.

Ramasamy berkata, dia adalah antara penduduk terawal yang menetap di perkampungan itu sejak 35 tahun lalu.

Katanya, wakil rakyat demi wakil rakyat berjanji untuk membantu mereka dan akhirnya mereka berjaya juga mendapat hak itu walaupun hanya LPS.

“Saya mewakili penduduk di kampung ini bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan pemimpin yang tidak pernah berputus asa membantu kami memperjuangkan hak sebagai seorang rakyat Malaysia,” katanya.

Seorang lagi penduduk, A Chandra berkata, penghargaan perlu diberikan kepada penduduk awal yang telah lama memperjuangkan hak mereka untuk mendiami kawasan itu.

Menurutnya, kebanyakan penduduk di kampung itu terdiri daripada mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah serta tidak mampu untuk membeli tanah sendiri.

“Tindakan Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak memberikan LPS ini sesuatu yang wajar dan dapat mengurangkan beban yang kami tanggung selama ini,” katanya.

Sementara itu, Megat Mohd Zamri yang ditemui pada majlis itu berkata, pihaknya memberikan LPS kepada 35 rumah di kampung berkenaan.

Menurutnya, majlis penerangan itu dibuat bagi memberi taklimat kepada penduduk mengenai bayaran yang perlu dikeluarkan mereka sebelum mendapat LPS.

Menjawab isu kekeliruan surat majlis penerangan itu sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, S Kesavan, beliau berkata, surat itu tidak diberikan kepada ADUN berkenaan kerana beliau bukan Ahli Jawatankuasa Tanah Daerah Hilir Perak.

Katanya, satu majlis penyerahan LPS kepada penduduk bakal diadakan dan Kesavan akan dijemput pada majlis itu nanti.

“Sebelum ini timbul isu bahawa Kesavan sebagai wakil rakyat tempatan tidak dimaklumkan, tetapi masalah itu tidaklah begitu besar memandangkan hanya Ahli Jawatankuasa Tanah Daerah yang dimaklumkan.

“Bagi Parlimen Bagan Datoh, ADUN Rungkup, Datuk Shaarani Mohamad telah dilantik Menteri Besar sebagai ahli jawatankuasa berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, empat lagi ahli jawatankuasa yang dilantik terdiri daripada ADUN Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharudin; ADUN Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan; ADUN Kampung Gajah, Dr Wan Norashikin Wan Noordin dan Ketua UMNO Bahagian Teluk Intan, Datuk Idris Hashim.

“Masalah tanah ini sebenarnya sudah lama dan telah dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diluluskan sebagai tapak kediaman, tetapi disebabkan tanah berkenaan adalah rizab Jabatan Kerja Raya (JKR), mereka tidak membenarkannya,” katanya.

Majlis taklimat yang sepatutnya memberi kelegaan kepada penduduk bagaimanapun bertukar tegang apabila Kesavan hadir menyuarakan rasa tidak puas hatinya kerana tidak dimaklumkan mengenai majlis itu.

Beliau yang ditemui media berkata, tindakan Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak itu dianggap biadab kerana membelakangi wakil rakyat yang sepatutnya berhak mengetahui setiap apa yang berlaku terhadap masyarakat di kawasannya.

Menurutnya, perkara itu adalah mainan kotor UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mempergunakan jentera kerajaan bagi memburuk-burukkan Pakatan Rakyat (PR).

“Ini adalah taktik mereka (BN). Apabila wakil rakyat PR tidak mengetahui apa yang berlaku dan masalah timbul, mereka akan mendakwa kami tidak buat kerja sedangkan tiada sebarang surat makluman yang diterima.

“Zambry kata semua ADUN perlu menumpukan kerja-kerja perkhidmatan kepada rakyat, sebaliknya dalam diam beliau cuba bermain politik untuk menjatuhkan wakil rakyat PR,” katanya.

Kesavan berkata, jika beliau tidak dijemput disebabkan bukan Ahli Jawatankuasa Tanah Daerah Hilir Perak, bagaimana Ketua MIC Bahagian boleh hadir bersama penduduk jika tidak ada jemputan.

Katanya, perkara itu akan dibawa ke Persidangan Dewan Undangan Negeri akan datang untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak yang berkenaan kerana cuba mengetepikan hak wakil rakyat tempatan.

Tiada ulasan: