Selasa, 5 Februari 2013

PEMANSUHAN PTPTN: Satu Ancaman Kepada Kapitalisme

Satu lagi persoalan yang sepatutnya popular ialah mengapa kerajaan memberi reaksi yang keterlaluan apabila Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat akan menghapuskan PTPTN sekiranya menawan Putrajaya? Pelbagai sebab diberikan termasuk negara akan bankrap, kerajaan akan rugi, Petronas akan runtuh, kolej swasta akan ditutup dan akhirnya kad rasis dilayangkan dengan kenyataan pemansuhan PTPTN akan menjejaskan kepentingan Bumiputera. Sebenarnya semua sebab-sebab ini tidak mendapat reaksi yang sepatutnya kerana Laporan Audit oleh pihak kerajaan sendiri menyatakan ketirisan pengurusan kerajaan akibat korupsi, kronisma dan penyalahgunaan kuasa, mencecah hampir RM28 billion untuk setiap tahun. Maka apakah sebabnya reaksi sebegini?

Isunya, pasaran pendidikan telah dibuka seluas-luasnya oleh Kerajaan BN dan golongan elite-korperat ternganga-nganga untuk menghisap keuntungan yang bakal disajikan. Maka, propaganda pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN jelas satu ancaman kepada cita-cita mereka. Maka, dicucuk boneka-bonekanya di kerajaan untuk bangun menentang tuntutan populis tersebut. Rakyat pada umumnya dan anak muda memang terpikat dengan idea pemansuhan PTPTN dan ini jelas meruncingkan kepentingan golongan korperat.

Walaupun Kerajaan Pakatan Rakyat tidak menghebohkan sistem pendidikan negara akan terbebas daripada cengkaman pemodal (baca = mereka masih belum bersedia), sekurang-kurangnya penerapan idea reformis untuk pendidikan percuma adalah terlalu dialu-alukan pada ketika ini.

Apa yang kami impikan ialah satu sistem pendidikan percuma yang bebas daripada pasaran/pemodal selaras dengan tuntutan umum "Pendidikan Bukan Untuk Diniagakan". 

Tiada ulasan: