Khamis, 25 Ogos 2011

Mengaibkan: Makmal DNA Jabatan Kimia Tidak Memenuhi Piawaian Antarabangsa


KUALA LUMPUR, 25 Ogos ─ Kewibawaan Jabatan Kimia kerajaan dalam mengendalikan analisis DNA dibangkitkan dalam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini ─ dengan pasukan pembela mempertikaikan sama ada ia memenuhi standard antarabangsa.

Pasukan peguam Anwar memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dokumen-dokumen menunjukkan makmal kerajaan itu, yang terletak di Petaling Jaya, belum lagi menerima tauliah American Society of Crime Lab Directors (ASCLD).

Ramkarpal Singh Deo menarik perhatian mahkamah dengan merujuk kepada dua dokumen menunjukkan Jabatan Kimia pernah memohon untuk mendapatkan akreditasi pada 2005 tetapi telah ditolak.

Surat kedua adalah daripada ASCLD, dikeluarkan April lalu dan tempohnya telah dilanjutkan sehingga Oktober ini untuk mengemukakan dokumen-dokumen bagi menyokong permohonan mereka.

Dokumen itu, menurut mereka, makmal tersebut tidak memenuhi standard antarabangsa.

Menjawab soalan Ramkarpal, pakar dari Australia Dr Brian McDonald dalam keterangannya juga berkata, kesemua ujian DNA perlu ada standard.

Oleh itu katanya, akreditasi merupakan salah satu cara untuk memastikan makmal memenuhi standard dunia.

Dr McDonald menganggotai National Association of Testing Authorities (Nata), Australia yang dilihat sama taraf dengan ASCLD.

Sebelum ini mahkamah dimaklumkan oleh pakar DNA pasukan pendakwa, Dr Seah Lay Hoong bahawa Jabatan Kimia mempunyai akreditasi ASCLD.

Makmal itu telah mengendalikan beberapa ujian DNA termasuk ke atas sampel yang diperoleh dari badan pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Seorang lagi peguam Anwar, Sankara Nair memberitahu pemberita kemudian bahawa isu akreditasi adalah penting sebab ia menggambarkan makmal itu adalah pusat ujian forensik yang layak dan boleh mengendalikan analisis DNA.

Jelas beliau, jika memiliki akreditasi, kerja-kerja makmal Jabatan Kimia akan dipantau oleh ASCLD.

“Sekarang mereka tidak ada standard ISO MM17025 bagi makmal forensik,” katanya.

“Ia persoalan mengenai kredibiliti, kredibiliti makmal dan Dr Seah sebagai saintis,” katanya lagi.

Bagaimanapun ketua pasukan pendakwa raya Datuk Yusof Zainal Abiden membantah usaha pembela yang mahu mengemukakan dokumen mengenai akreditasi di mahkamah sebagai bahan bukti.

Kata beliau, bahan bukti itu tidak boleh dikemukakan ketika Dr McDonald menjadi saksi kerana pakara itu tiada apa-apa kaitan dengan prosedur akreditasi.

Pasukan pembela akan meminta perintah mahkamah untuk memanggil ketua Jabatan Kimia Lim Kong Boon untuk memberi penjelasan mengenai status akreditasi makmal mereka.

Tiada ulasan: