Sabtu, 23 Mei 2009

PRK PENANTI AMAN TANPA BN



Parti Keadilan Rakyat menganggap calonnya pada pilihan raya kecil Penanti, Dr Mansor Othman sebagai pilihan terbaik untuk berjuang melindungi hak dan suara rakyat Penanti.

Ketua Umum Anwar Ibrahim berkata Dr Mansor Othman disifatkan sebagai seorang pemikir rakyat dan cendekiawan yang sentiasa memikirkan bagaimana meningkatkan taraf kehidupan rakyat miskin dan yang tertindas.

“Yang kita nak angkat itu bukan sahaja jaga kepentingan Melayu, Cina, India dan sebagainya di Pulau Pinang. Tetapi orang Melayu dan Islam mesti ada suara yang tegas kerana orang Melayu dan Islam banyak menghadapi masalah,” kata Anwar di Majlis Pelancaran Jentera N12 Penanti di Padang Ibu semalam.

Anwar menggesa pengundi Penanti memberi kemenangan besar kepada Dr Mansor pada hari pengundian 31 Mei depan sebagai mesej jelas bahawa rakyat mahu kepedulian rakyat dan keadilan dalam teras politik negara.

“Rakyat kena nilai, sama ada mereka mahu pemimpin yang jaga kepentingan rakyat atau kepentingan segelintir korporat.

"Saudara Fairus Khairuddin meletak jawatan sebaik sahaja beliau hadapi pelbagai dakwaan. Sekiranya dia mahu khianat, dia sudah terima wang ringgit dan lompat kepada Umno,” tambah beliau.

Mantan Timbalan Perdana Menteri itu juga turut menjelaskan gandingan Dr Mansor dan Ketua Menteri Lim Guan Eng mampu menghasilkan barisan kerajaan negeri yang benar-benar mantap dan berwibawa.

“Kita hantar Prof Madya Mansor kerana kita mahu seorang tokoh yang selayaknya untuk mewakili kepentingan orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang. Kalau mana-mana mahu cabar dari segi kelulusan sahaja, calon kita ada tiga MA.

“Ini kualiti Melayu yang kita mahu bergandingan dengan Ketua Menteri,” katanya lagi.

Anwar sekali lagi mengulangi ingatan bahawa Umno-BN mungkin mendalangi calon-calon tertentu dalam pilihan raya kecil Penanti.

Beliau menjelaskan meskipun Umno-BN tidak meletakkan calon, namun media pro-kerajaan terus berkempen.

“Dikeluarkan satu kajian yang mengatakan bahawa seorang pemimpin Umno di sini jauh lebih popular dari calon kita.

"Namun apa yang tidak disebut adalah memang benar pemimpin itu dikenali ramai, tetapi majoriti orang Melayu tolak beliau sebagai pemimpin.

“Walaupun Umno tidak meletakkan calon, walaupun akar umbi Umno tidak terbabit dalam pilihanraya, tetapi saya yakin media Umno akan terus menyerang untuk mencemar imej kita,” tegas beliau lagi.

Tiada ulasan: